Uncategorized

Adakah PN akan selamatkan masa depan digital Malaysia atau masa depan politik mereka? – Guan Eng

Oleh Ghafar NS

Mesyuarat Kabinet pada Rabu (28 April 2021) ini perlu menyelamatkan masa depan digital negara dan pelaburan digital berteknologi tinggi dengan membatalkan polisi kabotaj gagal Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Kabinet tidak boleh berlengah lagi kerana bimbang Malaysia kemungkinan hilang pelaburan bernilai RM12-15 bilion dalam sektor  teknologi digital berdasarkan “pencapaian” Ka Siong sebelum ini.

Menurut Guan Eng, keengganan Ka Siong memberikan pengecualian kepada kapal asing melakukan pembaikan kabel bawah laut sebelum ini menyebabkan pelabur seperti Facebook dan Google “lari” daripada Malaysia.

“Kabinet harus membuat pilihan yang jelas dan tegas antara menyelamatkan air muka Ka Siong dengan tetap meneruskan polisi kabotaj yang gagal atau menyelamatkan pelaburan digital yang besar bernilai antara RM12-15 bilion,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Rais Hussin juga telah secara terbuka menyalahkan Ka Siong yang membatalkan pengecualian kabotaj sehingga menyebabkan Malaysia disisihkan oleh Facebook dan Google, lalu memilih Singapura serta Indonesia.

“Ini satu ujian kepada Kabinet sama ada keutamaan diberikan kepada masa depan digital Malaysia atau masa depan politik mereka sendiri,” kata Guan Eng lagi.