Uncategorized

P. Pinang ambil tindakan berhemah mohon ulasan KKM

Oleh Chow Kon Yeow

(Ketua Menteri Pulau Pinang)

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat satu dakwaan serius bahawa syarikat yang menawarkan sumbangan 2 juta dos vaksin Sinovac kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan syarikat yang ‘bogus’ dan tawaran ini adalah satu ‘scam’.

Dakwaan serius itu turut mewajibkan bahawa syarikat tersebut dan pengarah yang dinamakan oleh Menteri untuk tampil bagi menolak dakwaan berkaitan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami telah mengambil tindakan berhemah apabila menerima tawaran vaksin berkaitan melalui surat bertarikh 1 Februari 2021 yang mana kami telah memohon pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). 

JKNPP kemudian telah meminta supaya perkara tersebut dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pandangan serta nasihat lanjut.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar telah mengutus surat kepada Ketua Setiausaha KKM, Putrajaya bertarikh 15 Februari 2021 bertajuk ‘Memohon Pandangan Kementerian Kesihatan Bagi Penggunaan Vaksin Covid-19 Untuk Rakyat Negeri Pulau Pinang Melalui Sumbangan Syarikat Swasta’.

Pada 12 Mac 2021, Datuk Mohd. Syafiq Abdullah selaku Ketua Setiausaha KKM telah memberi jawapan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa adalah tidak perlu menimbangkan sumbangan vaksin tersebut kerana Kerajaan Persekutuan telahpun merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Pandangan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah langsung tidak menyentuh tentang isu status syarikat tersebut.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan ini tidak berupaya menyusuli perkara ini kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin.

Tawaran vaksin ini dibangkitkan semula pada 18 Mei 2021 apabila pihak saya mempersoalkan mengapa KKM tidak dapat memberi perakuan untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang berdasarkan surat jawapan daripada Ketua Setiausaha KKM sedangkan negeri Sarawak dan Selangor dilaporkan membeli vaksin untuk kegunaan negeri masing-masing.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu ini kerana tawaran vaksin ini akan dapat diberikan kepada rakyat negeri Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka terhadap virus Covid-19.

Memandangkan Menteri Khairy Jamaluddin telah membuat dakwaan serius, Kerajaan Negeri dengan ini memohon supaya syarikat terbabit untuk memberi penjelasan serta menunjukkan bukti-bukti yang berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka. – Roketkini.com