Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Percepat pemberian vaksin pada pekerja pembersihan, petugas keselamatan

Oleh Ghafar NS

Golongan pekerja pembersihan dan petugas keselamatan adalah petugas barisan hadapan justeru, pemberian vaksin Covid-19 untuk mereka wajar dipercepatkan.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, pekerja-pekerja pembersihan di hospital misalnya, sentiasa terdedah dengan risiko wabak berkenaan.

Sama seperti pekerja pembersihan di kawasan bandar, kata beliau, mereka sering menguruskan sampah-sampah berbahaya seperti pelitup muka terpakai.

Bagi para petugas keselamatan pula, tegasnya, golongan itu bekerja sepanjang masa dan berinteraksi dengan orang ramai dalam tugasan mereka sekali gus menjadikan mereka individu yang bekerja di dalam sektor berisiko tinggi.

“Sudah tiba masanya untuk kita nilai semula siapakah golongan yang dikategorikan di dalam barisan petugas hadapan memerangi Covid-19.

“Kita sering lupa akan kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja pembersihan dan petugas-petugas keselamatan.

“Selain daripada kakitangan perubatan, anggota pasukan penguatkuasa dan guru, mereka ini juga antara golongan yang mempertaruhkan nyawa mereka tatkala pandemik ini sedang mengganas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lip Eng menambah, desakan untuk golongan tersebut dikategorikan sebagai golongan barisan hadapan bukanlah perkara baru, bahkan sudah wujud dari awal pandemik lagi.

Malangnya, ujar beliau, desakan tersebut tidak diendahkan oleh pihak kerajaan.

“Sudahlah mereka tidak diberikan elaun RM600 yang diberikan kepada golongan barisan hadapan, vaksin juga mereka tidak dapat,” katanya.

Tidak kira warganegara atau tidak, Lip Eng berkata, sudah tiba masanya golongan itu dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dan divaksinkan secepat mungkin.

“Adalah terlalu lambat bagi kita menunggu Fasa 3 untuk mereka divaksinasikan,” tegasnya. – Roketkini.com