Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

JK Pendidikan PH desak KPM perjelas pelan persekolahan, segerakan vaksin kepada guru

Oleh Aziera NH

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan pelan persekolahan pasca ‘lockdown’ secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid-murid dapat membuat persiapan awal semenjak dalam cuti persekolahan lagi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, jawatankuasa itu turut mendesak kerajaan menyegerakan suntikan vaksin kepada semua guru dan bukan hanya terhad kepada guru yang berusia dan berisiko sahaja seperti yang telah digesa berkali-kali sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk memberikan insentif ‘one-off’ atau sekali gus kepada para guru yang telah dan akan menggunakan wang mereka sendiri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

Kenyataan bersama melibatkan ketiga-tiga parti PH itu juga menggesa agar pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang telah dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40 disegerakan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Pengerusi Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik dan jurucakap-jurucakap pendidikan parti iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dan Natrah Ismail (PKR), Teo Nie Ching dan Steven Sim (DAP) serta Hasan Baharom (Amanah).

“Perlu diingat kegagalan Kerajaan Persekutuan terutamanya Menteri Pendidikan dan kedua-dua timbalannya di dalam memberikan respons yang proaktif seperti yang diperlukan oleh rakyat akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada lebih 5 juta orang pelajar generasi ini bukan sahaja untuk masa kini tetapi pada dekad-dekad yang akan datang,” kata jawatankuasa itu. – Roketkini.com