Berita, Rencana

Wakil rakyat DAP hulur bantuan menjelang ‘total lockdown’


DAP sentiasa peduli dan prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan “total lockdown” ekoran penularan Covid-19 yang semakin mengganas di negara ini.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng antaranya, menyampaikan bakul makanan yang ditaja pejabat beliau bersama-sama Yayasan Food Bank dan Pertubuhan Kasih Malaysia kepada lebih 300 keluarga di kawasan Parlimen Bagan.

“Harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam masa yang sukar ini,” ujar Setiausaha Agung DAP itu.

“Disebabkan varian Covid-19 yang semakin ganas, kami mula memakai pelitup muka berganda seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila menjalankan tugasan dan berjumpa orang ramai di luar,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pula menyerahkan peranti tablet yang ditaja Kerajaan Negeri Sembilan kepada tujuh pelajar dari Kg Sungai Rotan, Jelebu.

“Bersama Ketua Kampung MPKK Kg Sg Rotan, saya menghantar peranti tersebut rumah ke rumah.

“Keadaan Covid 19 yang semakin membimbangkan sekarang mungkin akan menyebabkan sekolah terpaksa ditutup untuk satu tempoh yang panjang.

“Maka, peranti amat diperlukan untuk pembelajaran secara online di rumah,” ujarnya yang Setiausaha Organisasi DAP.

Katanya, Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil langkah proaktif untuk menyumbangkan 120 unit tablet kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri itu.

“Sebahagian besar tablet ini telah diagihkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk kawasan DUN Chennah.

“Masih ramai pelajar dari keluarga kurang mampu yang menunggu-nunggu 150,000 tablet yang dijanjikan oleh Kerajaan Pusat,” tambahnya.

Di Felda Kahang Timur (FKT) pula yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali turun padang menyerahkan lebih 300 bungkusan barangan basah kepada penduduk yang terjejas.

Menurut Sheikh Omar, ikan-ikan segar dan sayur-sayuran yang diserahkan mereka itu merupakan sumbangan daripada rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan, para penyokong dan juga rakyat yang dermawan.

“Terima kasih kepada Ahli Parlimen Kluang – YB Wong Shu Qi yang sejak awal turut sama mengerahkan tenaga untuk program bantuan hari ini.

“Begitu juga Sdra Nasir selaku Ketua AMK Sembrong, Imam Sabri Amanah Sembrong dan seluruh rakan-rakan Pakatan Harapan Paloh, Kluang dan Sembrong yang membantu.

“Tak lupa juga ucapan penghargaan kepada Encik Samly dari JKM, seluruh team beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga rakan-rakan KRT Felda Kahang Timur yang melancarkan urusan sumbangan kami ini,” ujarnya. — Roketkini.com