Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

DAP gesa kerajaan dedah profil usia penerima vaksin untuk yakinkan orang ramai

Oleh Aziera NH

DAP mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendedahkan secara penuh dan telus profil usia mereka yang telah diberi vaksin bagi meyakinkan orang ramai bahawa barisan hadapan dan warga emas mendapat keutamaan untuk mendapatkan vaksin.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kegagalan untuk memberikan profil umur secara berkala bagi mereka yang diberi vaksin, hanya akan menambah defisit kepercayaan sedia ada antara orang ramai dan PN.

“Banyak negara di Barat memberikan profil lengkap kumpulan umur, dengan memberikan keutamaan dan kelebihan kepada warga tua dan emas serta kumpulan rentan sebelum memberikannya kepada warga yang lebih muda dan lebih sihat.

“Ini juga dapat mengatasi kebimbangan bahawa terdapat orang yang lebih muda dan mereka yang tidak berada dalam kumpulan rentan atau berisiko tinggi mendapat vaksin terlebih dahulu, melalui cara yang tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, kerajaan memerlukan kepercayaan dan keyakinan orang ramai dalam usaha mengalahkan Covid-19.

“Kegagalan untuk mendedahkan sepenuhnya maklumat tidak akan membantu memperbaiki keruntuhan kepercayaan terhadap Kerajaan PN,” ujarnya. – Roketkini.com