Berita

Segera selesaikan masalah peniaga kecil sektor perlu

Oleh Roketkini 

Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perdagangan Antrabangasa dan Industri (MITI) digesa duduk bersama untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh semua peniaga kecil sektor perlu. 

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi hari ini. 

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan larangan pergerakan penuh (Total Lockdown) dilaksanakan, rakyat berasa amat kecewa dengan arahan tidak lengkap dan pusingan-U oleh kerajaan. 

“Arahan mewajibkan surat MITI ke atas semua sektor perlu termasuk kedai runcit, makanan dan minuman telah menimbulkan masalah pelaksanaan pada peringkat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut kenyataan itu, dalam pelaksanaan PKP yang lalu, kedai runcit, pasar raya (hypermarket), kedai makanan dan minuman yang disetujui oleh semua pihak sebagai sektor perlu, tidak diminta untuk memperoleh surat kebenaran dari MITI.

Namun kali ini, tambahnya, Kerajaan PN membatalkan surat kebenaran MITI lama serta mewajibkan semua sektor termasuk yang lazimnya tergolong dalam sektor perlu, untuk memohon kebenaran dengan kementerian masing-masing. 

“Pengumuman ini bagaimanapun ditarik semula sehari selepas itu susulan banyak kementerian langsung tidak bersedia untuk memproses permohonan dari peniaga bidang masing-masing. 

“Malah, ada kementerian terpaksa mengguna borang Google untuk menerima permohonan. 

“Akhirnya, semua peniaga diminta untuk mengemukakan permohonan mereka semula menerusi sistem CIMS 3.0 yang dikawal selia oleh MITI – sekali lagi,” katanya. 

Masalah pusingan-U tersebut tegasnya, telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan peniaga. 

Katanya, sehingga sekarang, masih ada ramai peniaga dalam sektor perlu, termasuk kedai makanan dan minuman, kedai runcit ataupun pembekal barangan asas yang belum mendapat surat kebenaran daripada sistem MITI.

“Ramai mereka tertanya-tanya, bolehkah mereka beroperasi ataupun menunggu sehingga kebenaran diberikan oleh MITI?” soalnya. 

Kenyataan itu menjelaskan, sekiranya MITI tidak boleh menyelesaikan semua permohonan dalam tempoh seminggu, Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seharusnya berunding dengan pihak penguatkuasa. 

Tambahnya, penguatkuasa itu adalah polis yang menjaga sekatan jalan raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa tempatan. 

“Ketidakcekapan Kerajaan PN telah mengakibatkan masalah kepada semua pihak. Rakyat hanya minta agar kerajaan PN menyelaraskan tindakan mereka dalam krisis ini. Jangan biarkan rakyat menanggung kesemua kesalahan akibat dasar tidak lengkap kerajaan PN,” katanya. – Roketkini.com