Isu Semasa

Harga minyak masak naik: Kementerian perlu peka – Young Syefura

Oleh Aziera NH

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) perlu menyiasat punca peningkatan harga barang termasuk harga minyak masak lima kilogram (kg) yang dilaporkan kini mencecah RM30 ke atas sebotol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, kenaikan harga itu adalah tidak munasabah memandangkan Malaysia adalah pengeluar minyak masak. 

Young Syefura mendakwa, pada April 2021, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga bagi minyak masak botol adalah tidak tetap dan berubah-berubah mengikut harga pasaran.

Sebab itu katanya kerajaan tidak memberikan subsidi dan ia dijual berdasarkan harga pasaran mengikut mekanisme pengapungan harga.

Kata beliau lagi menteri tersebut juga menyatakan,  kementerian memandang serius situasi harga barangan keperluan pengguna yang tidak terkawal, termasuk minyak masak botol di pasaran kerana ia penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat. 

“Namun sejauh manakah ‘pandangan serius’ yang beliau nyatakan jika harga minyak masak semakin hari semakin meningkat.

“Menteri juga tidak kelihatan turun padang meninjau keadaan semasa. Adakah beliau betul-betul serius dengan kenyataan beliau pada April lalu?, ” soalnya seperti dilaporkan Utusan Online semalam.

Tambah beliau, rakyat kini sudah terbeban dengan kesan Covid-19 di mana ada kalangan rakyat yang tidak mempunyai pendapatan dan ada yang dipotong gaji.
 
Justeru, katanya, rakyat tidak boleh dibebani pula dengan peningkatan kos sara hidup.

Jelasnya, kementerian sepatutnya peka dengan perkembangan harga semasa barangan di pasaran dan membendung masalah kenaikan harga. 

Oleh itu, Young Syefura menegaskan, kementerian perlu menyiasat punca peningkatan harga bukan sahaja minyak masak tetapi beberapa barangan lain yang terlalu mendadak.

“Kementerian jangan menjadi pahat yang hanya bergerak apabila diketuk.

“Apa yang penting, contohilah bekas menteri sebelum ini yang tidak segan silu turun ke lapangan untuk meninjau sendiri keadaan semasa,” katanya lagi. – Roketkini.com