Uncategorized

Projek PSR buka peluang masa depan lebih baik – Farid Maulud

Kenyataan media Ketua DAPSY Bukit Bendera, Farid Maulud pada 12 Jun 2021

Akhir-akhir ini, begitu ramai ahli politik dari parti lawan, bebas mahupun badan bukan kerajaan (NGO) meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang ekoran pendirian untuk meneruskan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Secara peribadi, saya menganggap kebanyakan mereka yang menentang ini golongan yang terpengaruh dengan tohmahan dan fakta yang diputar belit oleh kumpulan-kumpulan tertentu agar PSR ini dapat dihentikan tanpa mengambil kira manfaat secara menyeluruh terhadap rakyat negeri Pulau Pinang.

Tuduhan kononnya PSR ini akan membawa kerosakan alam, mengancam punca carian nelayan dan mengusir masyarakat Melayu secara total ini sangatlah keterlaluan.

Jika benar dakwaan ini, mengapakah negara maju tidak menghentikan projek-projek tambakan di negara mereka? Baru-baru ini, Parlimen Denmark, iaitu sebuah negara Eropah yang terkenal kerana dasar-dasar mesra alam, telah meluluskan projek tambakan Lynetteholm iaitu sebuah projek pulau buatan yang besar (giant artificial island).

Jika benar bahawa tambakan merupakan tindakan yang tidak bertamadun, adakah United Nations’ Intergovernmental Panel on Climate Change menipu dalam kenyataannya yang menekankan bahawa tambakan itu merupakan kaedah berkesan bagi adaptasi terhadap perubahan iklim? (The Ocean and Cryosphere in a Changing Climate: A Special Report of the Intergovernmental Panel on Climate Change, 2019). 

Tidak dinafikan bahawa projek tambakan akan membawa kesan kepada kawasan sekeliling, namun dengan teknologi moden kesan ini mampu diminimumkan. Dalam PSR, penambakan tidak dibuat secara semborono malah langkah mitigasinya juga berjalan seiring.

Seperti yang terkandung dalam rancangan PSR, Kerajaan Negeri komited mengatur program-program seperti terumbu buatan, peranti pengumpulan perikanan (FAD), penanaman pokok paya bakau, pelepasan benih ikan, membangunkan struktur eko-kejuruteraaan, serta membiayai kajian dan penyelidikan bagi kegiatan perikanan.

Ini merupakan jaminan Kerajaan Negeri kepada semua pihak bahawa PSR akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan penekanan terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat tempatan. Saya pasti apabila program-program ini dilaksanakan kelak para NGO dan mereka yang berminat boleh turut serta membantu bersama-sama.

PSR bukanlah projek penambakan pertama di negeri ini malah penambakan di Pulau Pinang telah bermula sejak abad ke-19 semasa pemerintahan British. Sebenarnya, penambakan merupakan satu kelaziman khususnya bagi negeri pulau. Antara contoh-contoh kawasan yang ditambak adalah Bayan Lepas, Persiaran Karpal Singh, Straits Quay malah Weld Quay iaitu kawasan yang kini diiktiraf sebagai kawasan warisan sedunia UNESCO. Ya, kawasan “warisan” juga sebenarnya tambakan yang dibuat semasa zaman British.

Ekoran projek penambakan yang dilaksanakan dahulu, kita dapat menikmati pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan bagi rakyat. Alangkah baiknya jika pemimpin politik, NGO dan lain-lainnya cuba memahami terlebih dahulu PSR ini bersama dengan langkah-langkah mitigasi yang telah dirancang.

Usahlah menyebar fitnah jahat terhadap Kerajaan Negeri dengan fakta-fakta yang salah lagi mengelirukan. Kita semua sayangkan alam, namun tanpa pembangunan bagaimanakah kita mampu mencapai kemajuan sebagai masyarakat?

Farid Maulud
Ketua DAPSY Bukit Bendera
Ahli Parlimen Belia Malaysia