Uncategorized

Ketelusan faktor utama untuk menjamin kejayaan PICK

Kenyataan media bersama oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada 23hb Jun 2021 (Rabu):

Baru-baru ini, kami menerima maklumat bahawa tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di tiga daerah telah ditutup sementara. Pada masa yang sama, ada PPV yang hanya memberi suntikan dos kedua dan minta orang awam menjadual semula temujanji dos pertama mereka.

Tiga PPV yang ditutup sementara itu adalah PPV Pekan Nanas (daerah Pontian), PPV Simpang Renggam (daerah Kluang) dan PPV Parit Raja (daerah Batu Pahat). Kami juga dimaklumkan bahawa jumlah vaksin yang diberi setiap hari telah turun secara mendadak di daerah-daerah tersebut, termasuk daerah Kulai.

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa stok vaksin tidak mencukupi di peringkat negeri atau daerah bagi negeri Johor.

Namun begitu, jumlah pemberian vaksin mencatatkan rekod paling tinggi pada 22 Jun, iaitu 250,529 dos seluruh negara. Antaranya, 190,244 adalah dos pertama dan 60,285 adalah dos kedua. Ini menunjukkan bahawa keadaan yang dihadapi oleh rakyat Johor bukan satu masalah umum di tempat lain. Sebenarnya, pemberian dos vaksin di Johor pernah mencatat 20,529 dos, 20,541 dos dan 20,456 dos pada 14, 15 dan 17 Jun, tetapi telah menurun ke 13,718 dos, 16,738 dos dan 17,268 dos pada 20, 21 dan 22 Jun.

Kami difahamkan bahawa beberapa PPV mega terletak di Lembah Klang telah bermula operasi baru-baru ini. Jumlah pemberian vaksin di tempat-tempat tersebut adalah tinggi setiap hari. Pada masa yang sama, jumlah kes positif di Lembah Klang adalah tertinggi sehingga merangkumi 50% daripada jumlah kes seluruh negara. Oleh itu, tidaklah hairan sekiranya Menteri berhasrat memberi tumpuan kepada Lembah Klang supaya boleh menurunkan kes positif di sana. Namun, Menteri seharusnya mendedahkan semua maklumat ini supaya rakyat faham kawasan mana diberi keutamaan dalam PICK.

Paling penting sekali, jumlah dos diagihkan antara daerah seharusnya mengikut saiz populasi masing-masing juga. Kami terima makluman bahawa ada golongan anak muda di kawasan menteri tertentu telahpun terima temujanji manakala warga emas di kawasan lain masih menunggu notis temujanji. Malah, khabar angin tular dalam media sosial berkenaan cara tidak beratur untuk mendapat temujanji vaksin juga menghakis keyakinan rakyat terhadap pengurusan PICK.

Kita tidak akan menang sekiranya rakyat hilang keyakinan terhadap program imunisasi. Justeru, menteri-menteri mesti meletakkan ketelusan sebagai keutamaan dalam pengurusan vaksin. Jumlah pemberian vaksin di semua daerah perlu dikemaskini di laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) setiap hari. Ketelusan adalah faktor utama untuk menjaminkan kejayaan PICK.