Isu Semasa, Rencana

Wakil rakyat DAP terus bantu rakyat terjejas kala pandemik

Oleh Ghafar NS

600,000 golongan M40 tergelincir dalam kelompok B40, peniaga-peniaga kecil semakin ramai tutup kedai, kes positif harian masih ditahap membimbangkan, ramai yang hilang kerja, dihalau dari rumah sewa dan tidak kurang yang hilang pertimbangan diri.

Hal-hal ini amat membimbangkan, namun sepertinya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak terkesan langsung akan kesempitan hidup rakyat kala pandemik ini, apatah lagi tiada bantuan tambahan diberikan apabila kuncitara dilanjutkan.

Wakil-wakil rakyat DAP bagaimanapun tetap cuba memberikan khidmat terbaik dalam membantu rakyat di kawasan masing-masing yang kesempitan dengan bantuan NGO dan orang-orang persendirian, sungguhpun dalam keadaan peruntukan menyalurkan bantuan ini disekat oleh Kerajaan PN.

Di kebanyakan kawasan Parlimen wakil rakyat DAP, Teksi Percuma adalah antara inisiatif awal yang dilaksanakan untuk memudahkan dan menggalakkan penduduk mendapatkan vaksin, khususnya warga emas, OKU serta wanita mengandung.

Antara wakil rakyat DAP yang menawarkan inisiatif ini di kawasan Parlimen masing-masing termasuknya ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dan ramai lagi ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut sama mengusahakan program ini.

Para peniaga tani dan pasar malam antara yang teruk terjejas kerana tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Oleh itu, wakil-wakil rakyat terus bersuara agar Kerajaan PN memandang kesusahan dihadapi mereka, selain menghulurkan bantuan seperti pek makanan yang disampaikan oleh ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi kepada 18 peniaga tani di kawasannya.

Di Seremban, Anthony bersama ADUN Temiang, Ng Chin Tsai menjalankan program menyokong penjaja-penjaja kecil di DUN Temiang dengan membeli 300 hingga 400 bungkus makanan setiap hari dan diagihkan kepada penduduk setempat.

Dalam keadaan yang mendesak ini, pek bantuan makanan kering adalah bantuan paling ideal sekali untuk disampaikan kepada keluarga-keluarga B40 dan yang terjejas.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri; ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju; ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; ahli Parlimen Puchong, Gobindh Singh dan ramai lagi wakil rakyat DAP terus menerus menyalurkan bantuan pek makanan kering dan sumbangan kewangan kepada penduduk kawasan mereka tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

Inilah semangat kekitaan tinggi ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat DAP, bahawa DAP bukanlah hanya menjaga kepentingan kaum tertentu sahaja, tetapi sebaliknya, khidmat bakti diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang sama-sama terkesan akibat daripada pandemik Covid-19 serta pentadbiran tidak kompeten Kerajaan PN kini.

Beberapa orang ahli Parlimen DAP sehingga kini masih menerima rayuan mendapatkan alat peranti elektronik daripada ibu bapa dan anak-anak pelajar susah di kawasan mereka bagi menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR).

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng antara yang aktif mengagihkan bantuan komputer riba atau tablet berkualiti tinggi untuk mereka yang memerlukan.

Steven yang amat menggalakkan anak-anak pelajar di kawasannya mendapat pendidikan terbaik pernah meluahkan rasa amarah akibat ramai pelajar yang menerima telefon pintar berkualiti rendah daripada Kerajaan PN, akhirnya meletup seperti bom jangka yang membahayakan mereka.

Sudahlah 150,000 komputer riba yang dijanjikan menerusi Belanjawan 2021 masih tidak dapat dijejak pemberiannya, Kerajaan PN malah mengagihkan telefon pintar berkualiti rendah pada anak-anak pelajar untuk menjalankan pdpr yang akhirnya tidak dapat digunakan secara efektif, malah merbahaya kepada mereka dan keluarga pula.

Kini, media sosial menjadi medan untuk rakyat menilai sama ada undi yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat ini berbaloi atau tidak, lebih-lebih lagi dikala situasi sukar seperti ini.

Segala khidmat, sumbangan serta bantuan yang disalurkan oleh ahli-ahli Parlimen DAP ini boleh disaksikan sendiri di media-media sosial mereka atau menerusi laman media sosial rasmi DAP Malaysia.