Uncategorized

PN perlu segera umum pakej rangsangan ekonomi – Guan Eng

Oleh Aziera NH 

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu segera mengumumkan pakej ransangan ekonomi untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mungkin bakal disambung kerana kes positif harian masih tinggi, pakej bantuan kewangan bernilai RM45 bilion sangat diperlukan untuk membantu syarikat yang mengalami masalah dan pekerja yang kehilangan pendapatan. 

“Pekerja dan perniagaan Malaysia, terutamanya PKS sangat memerlukan bantuan dalam bentuk moratorium pinjaman bank; subsidi sewa, upah dan utiliti; serta geran. 

“Persatuan PKS Malaysia mendedahkan bahawa 100,000 PKS ditutup tahun lalu dan 50,000 lagi dijangka mengalami nasib yang sama. 

“Berita yang sama buruk juga bagi pekerja dengan pengangguran masih tinggi pada 4.6% (743,000) pada bulan April 2021 sementara pengangguran belia antara 15-24 tahun pada 13.7%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambah Guan Eng, unjuran terbaru Bank Dunia mengenai pertumbuhan KDNK Malaysia untuk tahun 2021 merosot kepada 4.5% juga adalah bukti kegagalan Kerajaan PN dalam menguruskan ekonomi.

“Unjuran terbaru Bank Dunia mengenai pertumbuhan KDNK Malaysia untuk tahun 2021 merosot kepada 4.5% berbanding unjuran awal 6-7.5% Kementerian Kewangan sebelum ini. 

“Ia adalah satu lagi petanda penurunan tahap keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan Kerajaan PN dalam menguruskan ekonomi,” ujarnya. – Roketkini.com