Berita

Darurat: PH junjung kasih titah Raja-Raja Melayu

Oleh B. Suffian

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menjunjung kasih di atas titah pandangan Raja-Raja Melayu berkaitan isu Darurat iaitu ‘tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021’. 

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata, PH mengekalkan pendirian yang telah diumum sebelum ini iaitu Darurat yang diisytihar pada 11 Januari lalu tidak memberi kesan kepada usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 dan perlu ditamat segera. 

“Malah berdasarkan bukti sains dan data, keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak Darurat diisytihar dengan jumlah kes positif dan kematian harian yang kekal tinggi,” kata kenyataan itu hari ini. 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat terakhir pada Julai ini, wakil PH akan menegaskan bahawa jawatankuasa perlu:

● Menjunjung titah pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu Darurat;

● Menerima bukti sains dan data bahawa Darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik COVID-19; dan

● Menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melanjutkan Darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos 2021. – Roketkini.com