Uncategorized

Semua sektor utama perlu diwajibkan ujian saringan RTK-Ag setiap minggu – Shu Qi

Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi pada 26 Jun 2021: 

Semenjak pelaksanaan “Total Lockdown” bermula 1hb Jun, rakyat jelata dan perniagaan dalam sektor bukan keperluan utama diberitahu bahawa, jumlah kes boleh diturunkan dengan langkah lockdown. Malangnya, jumlah kes baru-baru ini masih mencecah lima ribu sehari dan kadar positif tidak pernah turun ke bawah 5%. 

Ini telah menunjuk bahawa strategi lawan covid-19 yang dilaksanakan oleh Kerajaan PN adalah gagal. 

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan hanya melakukan ujian saringan bersasar apabila kes positif dilaporkan. Ramai orang yang langsung tiada simtom terus kerja, membeli-belah dan menjalankan kehidupan seperti biasa, malah berisiko tinggi menyebarkan virus covid-19 kepada orang lain. Kita semua faham pentingnya untuk memutuskan rantaian penularan selepas setahun pendemik sedunia ini. Oleh itu, ramai sudi mengambil ujian saringan sekiranya diberi peluang. 

Rakyat tidak puas hati sekarang kerana mereka diberitahu jumlah kes boleh diturunkan melalui lockdown. Ramai menghadapi tekanan ekonomi dan hilang punca pendapatan akibat lockdown. Pada masa yang sama, jumlah kes kekal di tahap yang tinggi. 

Rakyat hanya minta kerajaan jangan membiarkan kami berkorban secara sia-sia. Kerajaan seharusnya mewajibkan ujian saringan RTK-Ag setiap minggu bagi semua kilang dan sektor keperluan utama. Saya percaya majikan akan lebih cenderung untuk melaksanakan strategi ini kalau kita dapat putuskan rantaian penularan secara pantas. Tanggungan kos ujian saringan lebih memadai daripada kerugian akibat lockdown sekarang. 

Kerajaan PN tidak boleh teruskan strategi gagal mereka tanpa mengambilkira pandangan pembangkang dan pakar perubatan. Kini adalah masa melakukan ujian saringan besar-besaran, khususnya terhadap semua kilang yang diberi kelulusan untuk operasi. Kita mesti putuskan rantaian penularan sebelum kita tamatkan lockdown. 

Untuk membantu sektor keperluan utama menyesuaikan diri dalam norma baharu ini, kerajaan mungkin boleh memberi insentif kewangan kepada semua supaya mematuhi keperluan ini, iaitu melakukan ujian saringan RTK-Ag setiap minggu. Kita tidak boleh lagi duduk di rumah tanpa melaksanakan strategi baharu dan masih membayangkan hasilnya akan berubah. 

Rakyat tidak mahu gagal bersama Kerjaaan PN. Kita mahu menang sebagai sebuah negara.