Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan perlu ambil langkah lebih berani bantu ringankan kos sara hidup rakyat

Jawatankuasa Kos Sara Hidup telah mengadakan perbincangan khas berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Jun yang lalu di mana pada pandangan kami, kerajaan boleh mengambil langkah yang lebih berani untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di semua peringkat.

Jawatankuasa ini telah mengambil beberapa ketetapan berikut:-

1. Bantuan Sara Hidup: Kami sebulat suara menyatakan sokongan terhadap cadangan dan saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa bantuan bulanan perlu diberikan kepada golongan B60 berjumlah RM 1,500.00 sebulan untuk setiap keluarga sepanjang tempoh lockdown ini. Jawatankuasa ini mencadangkan agar peruntukan tambahan sebanyak RM 1,000.00 diberikan kepada setiap isi rumah daripada golongan M20 sepanjang tempoh lockdown ini berjalan. (Akibat pendapatan yang berkurangan kesan daripada lockdown yang berjalan, sebahagian golongan M40 telah turun kepada B40 dan ianya telah melebarkan lagi kesenjangan pendapatan berdasarkan Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia).

2. Bantuan Bakul Makanan: Kami mewakili ahli-ahli parlimen pembangkang menyambut baik bantuan bakul makanan yang dinaikkan jumlah pemberiannya daripada RM100,000.00 kepada RM300,000.00 bagi setiap kawasan parlimen termasuk dalam kalangan kawasan parlimen pembangkang. Kami menyarankan agar pihak kerajaan dapat menyalurkan peruntukan ini serta merta kepada semua ahli-ahli parlimen untuk mengelakkan peristiwa terdahulu berulang kembali.

3. Semangat Demokrasi dan Federalisme: Demi mengangkat hak demokrasi rakyat yang telah memilih dan semangat federalisme, kami menyeru kepada semua kerajaan negeri untuk melakukan perkara yang sama dengan memberikan peruntukkan kepada semua wakil rakyat secara adil dan saksama demi mengharungi pandemik covid-19 ketika ini dengan harapan agar ianya dapat meringankan beban rakyat secara menyeluruh.

4. Moratorium: Jawatankuasa ini menilai daripada perspektif rakyat secara keseluruhannya dan menyokong sepenuhnya langkah pihak kerajaan dalam memberikan moratorium secara automatik tanpa faedah yang jelas kepada
semua golongan. Kementerian kewangan dan institusi perbankan perlu sedar bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat jelata.

MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI


Ahli Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan:-
YB Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang, KEADILAN)
YB Datuk Hj Hasanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat, AMANAH)
YB Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin, DAP)
YB Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)
YB Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP)
YB Norhayati Bachok (Ahli Dewan Undangan Negeri Maharani, AMANAH)
YB Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu, DAP)
YB Asmirul Anuar Aris (Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, AMANAH)
YB Cha Kee Chin (Ahli Parlimen Rasah, DAP)