Uncategorized

Manfaatkan SMS MKN untuk tingkatkan kesedaran komuniti

Oleh Roketkini

Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa memanfaatkan saluran khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk meningkatkan kesedaran komuniti dan mempromosikan cara penjagaan kendiri untuk ahli keluarga yang positif Covid-19.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, platform SMS itu perlu turut digunakan untuk mendidik rakyat berhubung gejala-gejala varian baharu yang dilihat masih tidak diketahui kebanyakan orang.

“Mereka perlu gunakan SMS MKN ini untuk mendidik ibu bapa atau ahli keluarga yang didapati positif (berhubung) perlukah anak-anak buat ujian? Hendak kuarantin berapa lama? Perlu pakai gelang? Kalau hendak buat penilaian dalam talian pusat penilaian Covid-19 (CAC) macam mana?

“Semua ini maklumatnya tidak ada melalui SMS MKN, saya rasa mereka boleh gunakan SMS MKN dengan lebih efektif untuk membantu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sidang media itu turut disiarkan secara langsung di media sosial.

Hannah yang juga mantan timbalan menteri menjelaskan, maklumat berhubung varian baharu tersebut ada menerusi aplikasi Telegram dan Facebook namun bukan semua orang ada aplikasi-aplikasi berkenaan.

Sekiranya SMS digunakan sebagai platform paling asas, kata beliau, maklumat tentang gejala-gejala varian baharu boleh dimasukkan agar mereka yang mempunyai gejala tersebut boleh segera menghubungi klinik terdekat.

Hannah turut membangkitkan beberapa SMS yang pernah dihantar MKN.

“Saya beri contoh, pada 16 Julai 2021, mereka menghantar SMS ini: Kerajaan terus bantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 menerusi Bakul Prihatin Negara, inisiatif terbaru bersama sektor korporat. 

“Itu sahaja SMS itu. Ia langsung tidak beritahu kita apa informasi yang diperlukan…,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah meminta Kementerian Kesihatan untuk  mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) dan mendidik masyarakat bagaimana untuk melawan Covid-19.

Pada sidang media sama, Hannah turut membangkitkan isu pengudaraan yang dilihat penting dalam usaha melawan Covid-19. – Roketkini.com