Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Vaksinasi: Operasi Lonjakan Kapasiti perlu dilakukan di P.Pinang

Oleh Aziera NH 

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) di Pulau Pinang sepertimana yang telah dilakukan di Lembah Klang. 

Menurut Guan Eng, OSC untuk meningkatkan koordinasi dan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor di Lembah Klang telah berjaya mencapai hampir 100% penduduk dewasa menerima dos pertama. 

“Mengapa tidak melakukan perkara yang sama untuk Pulau Pinang dan tidak menunggu sehingga September? 

“Kelewatan setiap hari menyebabkan lebih banyak jangkitan atau kehilangan nyawa yang berharga. 

“Turut sama pentingnya ialah vaksinasi yang lebih cepat akan membolehkan ekonomi di Pulau Pinang dibuka semula dengan lebih cepat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, desakan ini susulan lonjakan kes positif harian Covid-19 dan angka kematian adalah amat membimbangkan di negeri itu. 

Jelas Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, hanya 23.6% penduduk dewasa Pulau Pinang telah cukup dua dos suntikan menjadikan Pulau Pinang berada di tempat ke-9 daripada 14 negeri di Malaysia. – Roketkini.com