Berita

Adakan sidang khas Parlimen segera – Pembangkang

Oleh Roketkini

Satu sidang khas Parlimen mesti diadakan sesegera mungkin tidak lewat daripada 9 Ogos berasaskan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Desakan itu dibuat oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dari Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Bebas. 

Dalam satu kenyataan, ahli-ahli Parlimen pembangkang berkata, mereka tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September.

“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah Kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.

“Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak Covid-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu, dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang,” katanya hari ini. 

Oleh demikian, tegas kenyataan itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang berpendirian bahawasanya usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekaligus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara), Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (Pejuang), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (PSB), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA) dan Dr.  Maszlee Malik (Bebas). – Roketkini.com