Kenyataan Akhbar

Cadangan reformasi pendidikan daripada JK Pendidikan PH kepada PM

Kenyataan media Jawatankuasa Pendidkan Pakatan Harapan, 29 Ogos 2021

Menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 20 Ogos 2021, melalui Kenyataan Media Istana Negara yang menyeru agar semua ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha untuk menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil pendirian untuk mengemukakan agenda khususnya terkait isu reformasi pendidikan kepada YAB Perdana Menteri agar ianya dipertimbang seterusnya dilaksana.

Bertitik tolak dari semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang telah digagaskan YAB Perdana Menteri semasa ucapan sulungnya tempoh hari, maka JKPPH menganggap inilah masa yang sesuai segala cadangan yang dikemukakan dapat diperhalus berserta kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Rakyat digembleng ke arah mewujudkan sebuah sistem pendidikan yang lebih mapan dan relevan dalam tempoh yang mencabar ini.

Oleh yang demikian, JKKPH mencadangkan beberapa langkah untuk mereformasikan sistem pendidikan termasuk bidang pengajian tinggi, seperti berikut:

Reformasi Pendidikan Dasar

a) Merangka satu pelan besar (master plan) Pendidikan merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi dan pendidikan TVET, serta perancangan jangkamasa panjang yang strategik, mapan dan telus untuk pendidikan selepas pandemik berakhir. Pernyataan Polisi ‘Pendidikan di kala wabak COVID-19: Solusi buat Malaysia’ oleh mantan Menteri Pendidikan boleh dijadikan dasar dan panduan untuk tujuan berkenaan.

b) Penubuhan ‘Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan’ (MTPK) yang akan dianggotai oleh para pemegang taruh, terutamanya wakil-wakil dari NUTP, UNICEF, WHO, KKM, pakar-pakar Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), badan-badan pengkaji, NGO Pendidikan, Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, terutamanya mereka yang pernah bergelumang dalam sektor pendidikan untuk menangani masalah pendidikan pasca-pandemik yang amat serius ini melalui penghasilan pelan yang disebutkan serta memantau pelaksanaannya. Kerajaan juga hendaklah menggunakan secara maksimum kepandaian buatan (artificial intelligence) dan data raya (big data) untuk membantu menangani kemelut Pendidikan ini.

c) Pengurusan berkaitan penutupan dan pembukaan sekolah sewaktu COVID-19 hendaklah diturunkan (decentralized) kepada peringkat sekolah dan PPD dengan persetujuan ibu bapa. Sebarang keputusan yang dibuat juga hendaklah berdasarkan sains dan data dengan dipandu garis panduan oleh WHO. KPM hendaklah mempunyai pakar rujukan utama berhubung sains dan data dengan melantik pakar-pakar dari hospital-hospital Universiti Awam sebagai rujukan utama. Elakkan keputusan pukul rata atau ‘one size fits all’.

d) Kebenaran untuk MP dan ADUN tanpa kira pihak kerajaan atau pembangkang untuk terlibat dengan pihak sekolah dan institusi Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, dan jabatan Pendidikan Negeri di kawasan masing-masing untuk membangunkan pendidikan serta infrastruktur dan bukan untuk tujuan politik.

e) Melaksanakan Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara 2019 terutamanya berkaitan Model Pendidikan Baharu (New Education Model). Ianya perlu dibawa ke kabinet untuk diluluskan dan dilaksanakan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

f) Menghidupkan semula JK Dataraya (Big Data Committee) di KPM agar segala keputusan, dasar dan Pendidikan dapat dirumuskan dan dipandu oleh data, sains, deep analytics dan kepandaian buatan (artificial intelligence).

g) Pemberian insentif kepada para guru di dalam bentuk one-off ataupun pengecualian cukai di atas usaha dan wang ringgit yang mereka gunakan sepanjang PdPR.

h) Pelaksanaan semula ‘Program Sarapan Pagi’ percuma kepada setiap murid di sekolah seperti mana yang pernah direncanakan pada tahun 2019 apabila sekolah dibuka semula. Ini akan dapat membantu keluarga yang kini ramai tergolong dalam B50, dan juga dapat membantu para pengusaha kantin sekolah dan pembekal makanan basah ke kantin-kantin sekolah.

Reformasi Pengajian Tinggi

a) Penubuhan kembali Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) yang termaktub dalam Akta

Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).

b) Demi menjamin kewibawaan dan kredibiliti institusi pengajian tinggi, keanggotaan Lembaga Pengurusan (LPU) Universiti Awam juga hendaklah bebas dari lantikan politik dan dihadkan hanya kepada dua penggal sahaja bagi setiap lantikan.

c) Imej ahli akademi Malaysia yang tercalar kerana isu penerbitan di jurnal pemangsa (predator Journals) dan juga isu plagiarisme perlu ditangani secara sistemik. ‘Jawatankuasa Integriti Penyelidikan Kebangsaan’ yang pernah dicadangkan oleh Majlis Sains Negara (2017) perlu diwujudkan segera.

d) Akta 605 perlu dipinda untuk menjamin kebebasan akademik dan menjaga integriti para akademik sepertimana yang pernah dibawakan pada tahun 2019, ianya hanya perlukan kelulusan dari Perdana Menteri tanpa perlu dibawa ke parlimen.

e) Meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh JK Pemansuhan AUKU untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Akta 30) dan digantikan dengan undang-undang yang lebih komprehensif bersekali dengan akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555);

f) Meneruskan usaha penubuhan Kesatuan Pelajar di semua IPT (Institut Pengajian Tinggi).

JKPPH dengan tegas memohon agar cadangan-cadangan ini dipertimbang oleh YAB Perdana Menteri termasuk YB Menteri Kanan Pendidikan dan YB Menteri Pengajian Tinggi bagi menghentikan segala krisis pendidikan yang sedang berlaku di negara kita.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan:

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi (Ahli Parlimen Simpang Renggam) 

YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN) 

YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)

YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)

YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP) 

YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)