Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerjasama tulen bersama PM baharu perlu fokus pada selamatkan nyawa, ekonomi rakyat

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP, merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada 26 Ogos 2021

Menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dengan memenangi perang melawan COVID-19 dan membantu rakyat Malaysia mengatasi kemelesetan ekonomi serta reformasi institusi yang nyata adalah kunci kepada sebarang kerjasama tulen bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Perkara ini telah disampaikan kepada Ismail dalam pertemuan hampir satu jam setengah dengan beliau bersama Ketua Pembangkang pada 25 Ogos 2021, Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad bin Sabu.

Pandemik COVID-19 dan masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat biasa Malaysia berikutan kemelesetan ekonomi lebih penting daripada permainan “musical chair” politik yang dimainkan oleh gerakan politik oportunis mengejar jawatan dan kedudukan oleh ahli dalam kerajaan sekarang. Reformasi parlimen dan pilihan raya juga akan membantu memastikan mandat rakyat dihormati, dan hak perlembagaan mereka dijunjung tinggi.

Perlu ada Pelan Reset COVID-19 untuk melawan peningkatan jumlah jangkitan dan kematian yang terus meningkat tanpa kawalan dengan jumlah 1,616,244 kes dan 14,818 kematian pada 25 Ogos 2021 disebabkan oleh Kerajaan PN yang gagal. Kadar positiviti ujian telah melebihi 10% selama 36 hari berturut-turut, menunjukkan jumlah ujian saringan yang tidak mencukupi di seluruh negara dan bahawa jumlah kes sebenar Covid-19 berkemungkinan besar lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan. Kadar positiviti adalah 13.22% pada 25 Ogos, jauh melebihi tahap 5% yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Atas sebab ini, vaksinasi dan ujian saringan massa perlu dipercepatkan sebagai langkah pencegahan yang berkesan untuk menghalang lonjakan COVID-19. PH telah mencadangkan penerapan saranan WHO dalam pelaksanaan Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokong serta Vaksinasi (FTTIS + V) berskala besar, dengan menyaring 1% penduduk setiap hari atau 320,000 ujian. RM4 bilion perlu segera diperuntukkan untuk tujuan ini dan bagi meningkatkan sistem sokongan kesihatan dan tenaga kerja, terutama katil ICU serta penghantaran vaksin.

Pelan Pemulihan Ekonomi Negara secara dwipartisan sangat diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia dan perniagaan yang menderita kerana kehilangan pekerjaan, perniagaan dan pendapatan mereka akibat kemelesetan ekonomi yang telah menyebabkan kerugian lebih dari RM500 bilion sejak Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 1.0 pada bulan Mac 2020. Suntikan RM45 bilion dana langsung perlu disertakan dengan pengecualian faedah bagi moratorium pinjaman bank untuk baki 3 bulan tahun ini, kecuali Kumpulan 20 Teratas.

Bantuan kebajikan masyarakat perlu dinaikkan kepada RM1,000 setiap bulan, termasuk kepada penganggur yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion sebulan. RM6 bilion perlu diperuntukkan bagi menawarkan insentif upah dan pengambilan pekerja untuk mewujudkan 300,000 pekerjaan baharu demi mengurangkan kadar pengangguran. Perniagaan perlu diberi RM30 bilion dalam bentuk geran, insentif kewangan, subsidi upah, sewa dan utiliti, bukannya pinjaman dan jaminan, demi menyelamatkan pekerjaan dan memperlahankan penutupan perniagaan.

Mengutamakan nyawa dan mata pencarian rakyat Malaysia berbanding kepentingan politik yang mementingkan diri sendiri memerlukan kita semua untuk mengambil permulaan yang baru dan tidak mengulangi kegagalan kerajaan sebelum ini. Seperti yang dikatakan oleh Albert Einstein, “Kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza”. – Roketkini.com