Uncategorized

Adun muda DAP Gadek aktif peduli masalah penduduk

oleh Ghafar NS

Parti Tindakan Demokratik (DAP Malaysia) percaya bahawa anak muda adalah pelapis kepimpinan negara dan menggerakkan kepercayaan itu dengan memberi peluang kepada ramai anak muda tanpa mengira latar belakang serta kaum untuk berbakti kepada negara sebagai wakil rakyat.

Ini terbukti dengan kehadiran nama-nama seperti Young Syefura Othman sebagai Adun Ketari di Pahang, Kerk Chee Yee merupakan Adun Ayer Keroh di Melaka, Howard Lee sebagai Adun Pasir Pinji di Perak, Satees a/l Muniandy sebagai Adun Bagan Dalam di Pulau Pinang, serta ramai lagi.

G. Saminathan yang diangkat sebagai Adun Gadek di Melaka antara wakil rakyat muda DAP yang aktif membuktikan hakikat, bahawa anak muda sentiasa terkedepan dalam memberikan yang terbaik kepada penduduk yang telah mengangkat dirinya sebagai Adun kawasan.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP1.0) lagi, Saminathan yang pada tahun ini berusia 36 tahun aktif melaksanakan pelbagai inisiatif yang dapat membantu meringankan beban penduduk di kawasannya yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

Antara program yang amat membantu masyarakat Malaysia yang kesusahan kini adalah bantuan bakul makanan.

Saminathan bersama dengan pejabat Adunnya serta beberapa sukarelawan yang sudi membantu, aktif mengagihkan bantuan bakul makanan ini dan mereka turut memastikan bakul makanan tersebut turut mengandungi sayur-sayuran, bahan basah serta buah-buahan.

Menurutnya, amat penting penduduk Gadek menerima bantuan makanan yang sihat, lebih-lebih lagi pandemik ini mengajar kita untuk selalu menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Beliau dan pasukannya turut menyampaikan bantuan bakul makanan ini kepada keluarga-keluarga yang perlu kuarantin di rumah dan ini amatlah membantu mereka yang tidak dapat keluar rumah untuk mendapatkan barang makanan.

Sebagai wakil rakyat, beliau tidak pernah membeza-bezakan penduduk yang perlu dibantu, antaranya beliau menjalin kerjasama erat dengan jawatankuasa surau bagi memudahkan urusan pengagihan bantuan bakul makanan.

Baru-baru ini, 40 kit makanan dan Jalur Gemilang diserahkan kepada jawatankuasa surau Kampung Arongan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Arongan yang terjejas teruk.

Saminathan juga turut proaktif dalam menjalankan program sanitasi di kawasannya dengan bantuan Pasukan Unit Tindak Dun Gadek bersama Persatuan Gerakan Kebajikan Anak Perantau (PGKAP).

Mereka akan turun ke rumah, pejabat atau kawasan kedai yang penghuninya didapati dijangkiti wabak Covid-19 bagi membendung penularan yang lebih dahsyat lagi.

Pasukan sanitasi ini juga telah diusahakan agar segera mendapat suntikan vaksin bagi memastikan mereka juga terlindung daripada jangkitan wabak ketika sedang bertugas.

Adun Gadek ini juga sering meluangkan masa menyampaikan juadah kepada  petugas dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai tanda menghargai usaha mereka berpenat lelah memastikan negara segera mencapai imuniti kelompok. Saminathan merupakan antara wakil rakyat muda DAP yang sememangnya aktif menjalankan tanggungjawabnya dan ini dapat diikuti menerusi laman Facebooknya. – Roketkini.com