Uncategorized

Kit Siang gembira RUU Anti-Lompat Parti akan jadi nyata menerusi MoU

oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan medianya hari ini meluahkan rasa gembiranya apabila Memorandum Persefahaman: Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangani antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan pada 13 September lalu turut mengangkat isu Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti yang telah diperjuangkannya sejak empat dekad lalu.

“43 tahun lalu, pada 21 Mac 1978, saya telah bawakan satu usul persendirian di Parlimen untuk membentangkan undang-undang anti-lompat parti bagi menyekat politik rasuah dan memastikan persekitaran politik yang lebih bersih. Saya tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, MoU ini adalah kerjasama parti-parti Kerajaan dan PH untuk memberi keutamaan dalam usaha menamatkan gelombang Covid-19, dan bukannya membuang masa berkomplot menjatuhkan Perdana Menteri, Ismail Sabri.

“Kita tidak mahu kembali sebagai sebuah negara kleptokrasi atau kakistokrasi.

“Segala perbezaan perlu diketepikan bagi mengelakkan negara terjerumus ke arah sebuah negara gagal,” tambahnya.

MoU ini turut mengangkat transformasi pentadbiran yang menjanjikan bahawa RUU Anti-Lompat Parti ini dibentangkan di Parlimen dengan melalui prosedur yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Parlimen (tahun 2022).

Lim Kit Siang pernah mengatakan 43 tahun lepas di Parlimen, wakil-wakil rakyat yang mengkhianati undi rakyat menerusi parti yang mereka tandingi tidak jauh bezanya dengan penipu, dan merekalah yang menguatkan pandangan bahawa ‘politik itu kotor’, sedangkan mereka yang mencemarinya.

“Pengkhianatan ahli-ahli Parlimen atau ADUN daripada parti yang diundi adalah satu perkara yang amat tidak menyenangkan dan tidak beretika, kerana mereka ini bukanlah diundi semata-mata kerana sifat peribadi mereka, tetapi juga kerana parti yang diwakili mereka.

Perbuatan ini juga membolehkan wakil rakyat yang diundi ini untuk dijual beli seakan-akan mereka ini barangan di pasar,” katanya 4 dekad yang lalu. – Roketkini.com