Uncategorized

Ubah suai Sri Perdana ‘meloyakan’

Kerajaan PN dan saki baki pemimpin mereka terpaksa membelanjakan lebih satu juta ringgit untuk mengubahsuai pejabat termasuk menukar perabot lama di pejabat Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

Malah kerajaan yang sama dan saki baki pemimpin mereka ini telah membelanjakan sehingga RM38.5 juta hanya untuk meningkatkan imej Perdana Menteri di Putrajaya dalam menyambut tetamu utama negara biarpun turut dijelaskan ianya juga mengambil kira faktor keselamatan juga. 

Keselamatan siapa kalau tidak kerap tinggal di sana.

Hari ini, saya percaya lebih ramai yang mungkin telah mengetahui mengapa sesebuah kerajaan yang ditubuhkan melalui jalan khianat dan pintu belakang adalah sesuatu yang jijik, hodoh dan boleh merugikan negara? 

Mereka tidak mempunyai akauntibiliti untuk dijawab kepada rakyat. Mereka bukan orang menang yang dipilih oleh rakyat untuk mengemudi negara. Mereka orang yang kalah.

Telah maklum di seluruh pelusuk negara oleh rakyat berbilang bangsa dan agama, bagaimana para pemimpin Pakatan Harapan semasa mereka mentadbir di Putrajaya selama 22 bulan tidak membuat apa-apa ubahsuai bilik dan pejabat mereka semenjak memasuki Putrajaya. 

Saya tidak boleh lebih sudu dari kuah untuk menjelaskan bagi pihak mereka yang lain, tetapi apa yang saya boleh memberi jaminan ialah pejabat Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kekal begitu semenjak kami masuk sehinggalah kami terpelanting keluar. 

Timbalan Menteri KPWKM ketika itu hanya ke hulu hilir memikirkan jalan keluar untuk mengurangkan beban penjawat awam dari hari pertama beliau mengetik kad perakam memasuki pejabat. 

Kami telah bergegas ke hospital pada hari kedua bekerja untuk menenangkan ibu bapa yang kematian bayi mereka akibat didera dan merangka pelan menubuhkan lebih banyak TASKA di Tempat Kerja di bangunan Kerajaan keesokkannya. 

Ini bukan cerita dogeng dari mana blogger, saya bersama-sama beliau ketika itu.

Mungkin pejabat yang kami duduki waktu itu sudah agak cantik sebelum kami menjejaki kaki ke sana lagi. Tetapi, jika Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM ketika itu mahu membuat ubahsuai atau membawa masuk perabot rumah mereka yang mungkin tidaklah seberapa harganya, mereka masih boleh melakukannya. 

Nescaya tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Ternyata, bukan itu tujuan sebenar pertarungan untuk ke koridor dan tangga kuasa di Putrajaya.

Adakah kami mahu atau lebih tepat, adakah kami sempat – memikirkan untuk melakukan kerja-kerja ubahsuai jika kesemua fikiran kami, kudrat dan fokus hanya berpusat kepada usaha menterjemah manifesto yang telah diperbuat untuk memperolehi mandat rakyat dalam Pilihan Raya ke-14 l(PRU-14)? 

Dan setelah mandat itu diperolehi, kami mahu mempersia-siakan dengan kerja-kerja sia-sia mengubahsuai pejabat atau menukar perabot yang langsung tidak akan menentukan prestasi kerja kami? 

Inilah yang membezakan sesebuah kerajaan yang dipilih melalui jalan jujur, melalui kemenangan di PRU dan mandat dari rakyat – kami tidak boleh dan tidak sesekali mampu untuk berkompromi dengan rakyat walaupun sedikit pun.

Harga kemenangan yang dihadiahkan oleh rakyat terlalu tinggi nilainya dan tidak boleh dibandingkan walau dengan berapa pun kos ubahsuai pejabat dan pembelian perabot baharu yang ingin dilakukan. 

Hanya pemimpin yang tidak tahu malu, korup dan sanggup membelanjakan dana awam hanya untuk keselesaan diri ketika rakyat terduduk melutut, menderita serta merayu untuk sesuap nasi dan mengharapkan peluang kerja bagi menampung anak-anak dan keluarga.

Maruah sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat tertanggung di bahu pemimpian Pakatan Harapan bermula sejak malam 9 Mei 2018 lagi (sebenarnya pada awal pagi 10 Mei) dan ia termasuklah akauntibiliti terhadap perbelanjaan dan peruntukan yang akan digunakan yang akhirnya kesemua ini akan dipersoalkan semula pada pilihan raya yang akan datang. 

Pakatan Harapan amat menitik beratkan perkara paling asas dalam menghormati dan menghargai mandat yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia dalam PRU-14 yang lalu.

Inilah akibatnya apabila negara dipimpin oleh mereka yang bukan ahlinya. 

Mereka mengangkat diri sendiri ke tampuk kuasa dan kini mahu melakukan semahunya. 

Apa yang paling mengecewakan dalam episod ubahsuai Seri Perdana dan pejabat Menteri dan Timbalan Menteri JPM ini ialah mereka melakukannya ketika kita diberitahu hanya dapat dibantu dengan jumlah bakul makanan yang sedikit dan terhad, peralatan hospital yang tidak mencukupi untuk menampung pesakit yang bertambah, para petugas kesihatan yang hanya dikekalkan jawatan kontrak, bantuan kewangan yang kecil dan sukar diperolehi akibat kematian Covid-19 dan pemberian komputer riba kepada golongan B40 yang sehingga kini masih tidak mencapai sasaran 150,000 seperti mana yang dijanjikan. 

Kesemua kegagalan ini atas alasan kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi kesan penutupan sektor ekonomi yang merugikan negara sehingga berbillion sehari, sedangkan RM38.5 juta dibazirkan begitu sahaja tanpa rasa malu. Jujur saya akui, menulis mengenai pembaziran ini pun sudah cukup meloyakan. – Roketkini.com