Uncategorized

DAP tetap peduli walaupun DUN Melaka bubar

oleh Ghafar NS

Konflik dalaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Melaka telah mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 5 Oktober 2021, apabila empat orang ADUN menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri.

DAP berpendapat, konflik politik dan pembubaran DUN Melaka ini tidak patut menjejaskan kehidupan masyarakat, apatah lagi kini kita dalam fasa pemulihan dan masih banyak keluarga yang berdepan kesulitan hidup.

Adun Gadek, G. Saminathan tetap meneruskan usaha menghantar barangan basah serta bakul makanan kepada keluarga yang sedang menjalani kuarantin kendiri di Kampung Kuala Ina pada hari DUN Melaka diumumkan telahpun bubar.

Pada hari Selasa itu juga beliau turut menghantar sebuah kerusi roda terpakai kepada seorang penduduk yang amat memerlukan bagi memudahkan pergerakannya.

Menurutnya, sungguhpun DUN dibubarkan, tugas dan amanah akan tetap dilaksanakannya seperti biasa untuk warga DUN Gadek kerana masyarakat tidak patut dihukum atas insiden tersebut.

Selain itu, Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee juga tetap menjalankan khidmat terhadap penduduk Ayer Keroh apabila petugas Pusat Khidmat Masyarakat Ayer Keroh pergi menyampaikan lampin pakai buang kepada lima pesakit yang memerlukan.

“Perkhidmatan tetap berjalan walaupun DUN dibubar dan saya bukan lagi ADUN kawasan Ayer Keroh,” kongsinya dalam satu kemas kini status Facebook pada hari pembubaran DUN Melaka.

Konflik politik yang mencetuskan pembubaran DUN di Melaka ini sememangnya akan memberi kesan hebat kepada masyarakat di negeri ini, apatah lagi negara masih belum menang dalam perang melawan Covid-19 serta impaknya kepada ekonomi rakyat juga negara seluruhnya.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti DAP, Khoo Poay Tiong telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak CEC tidak bersetuju pilihan raya negeri diadakan atas sebab negara masih dalam fasa pemulihan daripada wabak Covid-19, malah insiden peningkatan kes Covid-19 selepas pilihan raya negeri Sabah pada tahun lepas (2020) wajar dijadikan pengajaran.

Ini menjadi bukti bahawa parti DAP peduli akan situasi semasa, dan hal-hal yang akan memberi impak negatif kepada rakyat serta negara perlulah diambil berat agar sama-sama kita dapat keluar daripada kemelut ini bersama. – Roketkini.com