Kenyataan Akhbar

MoU: RM30 bilion untuk PKS

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Dana tambahan RM45 bilion yang diperolehi melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perdana Menteri dan pemimpin PH, perlu disalurkan sebagai suntikan fiskal terus kepada rakyat dan PKS, bukan dialihkan untuk kontrak kroni terutamanya dengan pilihan raya negeri yang akan datang di Melaka dan Sarawak.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas dan dipersetujui semasa siri perundingan Belanjawan dengan Menteri Kewangan berikutan laporan bahawa sekurang-kurangnya RM2 bilion akan disalurkan dalam bentuk projek kepada kontraktor.

Walaupun DAP tidak membantah projek pembangunan kepada kontraktor, kerajaan mempunyai sumber dana yang lain dan tidak sepatutnya menghalang dana terus kepada rakyat dan PKS.

Salah satu tujuan utama PH menandatangani MOU adalah untuk mendapatkan dana tambahan RM45 bilion ini dalam bentuk suntikan fiskal terus kepada rakyat dan perniagaan serta PKS demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

Selain itu, MOU tersebut melibatkan pengecualian faedah selama tiga bulan yang belum pernah dilakukan sebelum ini untuk 50% penduduk terbawah, yang akhirnya dipersetujui oleh industri perbankan.

Untuk tujuan ini, sekurang-kurangnya RM30 bilion dana langsung perlu diperuntukkan untuk PKS, dengan baki RM15 bilion untuk kesihatan, manfaat kepada penciptaan pekerjaan dan bantuan kewangan untuk penganggur.

Sebahagian daripada bantuan kepada rakyat yang diumumkan oleh kerajaan akan datang daripada pakej fiskal RM45 bilion yang terkandung dalam MOU ini.

RM30 bilion untuk PKS ini juga telah dipersetujui oleh Menteri Kewangan selaras dengan MOU tersebut.

DAP berharap dana itu dapat diagihkan dengan segera sebelum penghujung tahun ini bagi dipadankan dengan pembukaan semula ekonomi supaya perniagaan dan pekerjaan dapat bangkit semula dengan cepat.

Dalam hidup bersama dengan COVID, marilah kita bekerjasama demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.