Uncategorized

Masa bersatu hati, tekadkan semangat

Oleh Ghafar NS

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri sebelum ini memerlukan semua pihak bersama memperbaiki dan memulihkan kembali kepincangan-kepincangan yang sedang dan telah berlaku supaya tidak menjadi lebih teruk pada masa akan datang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, rakyat telah bersuara dan mungkin inilah terjemahan rasa penat dan lelah mereka setelah melihat kepincangan demi kepincangan yang tidak berkesudahan.

Jamaliah turut berkongsi petikan kenyataan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyebut: “PH tidak boleh hilang kedudukan moral, integriti, khidmat demi rakyat dan bukannya diri sendiri dan juga pada masa yang sama perlulah melihat diri kita semua pertamanya sebagai Rakyat Malaysia dalam masyarakat yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.”

ADUN Selangor itu berkata, kekalahan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun sukar diterima, perlu direfleksi dan bukannya menunding jari sesama anggota PH kerana hakikatnya, banyak faktor yang membuat rakyat Melaka tidak memilih PH dalam PRN itu.

“Kepincangan dalaman sesama parti gabungan perlu diatasi segara supaya kita dapat bangkit dan kembali dengan satu kekuatan yang sama.

“Kita harus bersatu hati, tekadkan semangat dan bergerak ke hadapan dalam perjuangan demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Harapan, Howard Lee turut berpendapat yang sama agar semua komponen dalam PH akur dan menerima keputusan rakyat, sungguhpun pedih.

Menurutnya, kekalahan PH dalam PRN Melaka ini pasti melukakan hati para pengundi, penyokong dan ahli-ahli parti, dan oleh kerana itu punca-punca kekalahan ini perlu dinilai dengan jujur dan ikhlas bersama-sama.

DAP yang bertanding di bawah logo HARAPAN dalam PRN Melaka ini berjaya memenangi empat daripada lapan kerusi yang menempatkan calon DAP.

PH secara keseluruhannya hanya mampu memperoleh lima kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, menyebabkan ini merupakan kekalahan yang agak mendukacitakan banyak pihak, namun sedar dan akur kepada pilihan rakyat Melaka. – Roketkini.com