Rencana

‘Soalan tanya lain, menteri jawab lain’ – Steven Sim

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hari ini menyelar tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dilihat tidak menjawab soalan yang ditanya beliau di Parlimen.

Menurut Steven, soalan yang ditanya mengenai senarai peruntukan bagi setiap negeri dan Wilayah Persekutuan daripada Rancangan Malaysia Pertama sehingga Rancangan Malaysia Ke-11 adalah penting.

“Soalan ini penting sebab pertumbuhan ekonomi perlu disertakan dengan pengagihan yang adil untuk pembangunan yang seimbang.

“Di satu pihak, Kerajaan Persekutuan harus memastikan negeri seperti Pulau Pinang mendapat peruntukan yang adil setara dengan sumbangan ekonomi negeri, di satu pihak lagi, negeri-negeri yang masih mempunyai masalah kemiskinan yang tinggi perlu diberi bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Steven mengongsikan gambar pertanyaannya yang meminta Perdana Menteri menyatakan senarai peruntukan yang telah diberi kepada ‘setiap negeri dan wilayah persekutuan’ daripada Rancangan Malaysia Pertama sehingga Rancangan Malaysia Ke-11.

Beliau turut mengongsikan jawapan oleh Mustapa yang menyenaraikan peruntukan bagi ‘seluruh negara’ mulai Rancangan Malaysia Pertama sehingga Rancangan Malaysia Ke-11.

Tambah Steven, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan telah menyalurkan wang ehsan untuk pembangunan secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan berbanding sebelumnya di mana kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya menyalurkan wang tersebut kepada agensi persekutuan.

“PH juga menambahkan peruntukan secara terus kepada kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Steven berkata, semasa beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, beliau akan sedaya upaya untuk berikan jawapan yang tepat dan memenuhi permintaan ahli Parlimen yang menyoal.

“Ahli Parlimen tunggu nak dapatkan jawapan, tapi kerajaan pula tak sudi jawab dengan baik.

“Jika di Parlimen pun kita tak boleh dapat jawapan kepada isu-isu negara, kat mana lagi rakyat nak cari kebenaran?” soalnya. – Roketkini.com