Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Isu SPRM: Kenapa Abu Zahar tak jelas lebih awal jika media salah lapor? – Lip Eng

Oleh Aziera NH

Tindakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ,Abu Zahar Ujang yang menyalahkan media atas kontroversi yang timbul akibat daripada sidang medianya pada 5 Januari lalu adalah amat dikesali dan tidak munasabah.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Abu Zahar tidak menyatakan secara jelas kenyataan dan perenggan mana yang dikatakan telah disalah lapor oleh pihak media.

“Sebelum kenyataan media dikeluarkan oleh enam anggota LPPR pada 8 Jan yang mengatakan kenyataan Abu Zahar pada 5 Jan adalah pandangan peribadi Pengerusi LPPR itu semata-mata, mengapa Abu Zahar tidak segera menjelaskan pada 6 atau 7 Jan sekiranya benar beliau disalah lapor oleh media?

“Kenapa perlu tunggu hingga semalam?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 Jan, enam ahli LPPR menjauhkan diri daripada kenyataan Abu Zahar yang membersihkan nama Azam daripada salah laku berhubung isu pemilikan saham.

Mereka berkata, komen Abu Zahar adalah pandangan peribadi beliau sepenuhnya.

Dalam pada itu, Lip Eng berkata, kenyataan Abu Zahar bahawa kenyataan enam ahli LPPR dikeluarkan tanpa pengetahuan beliau juga amat melucukan, memandangkan  Abu Zahar sendiri telah membelakangkan semua ahli LPPR itu.

“Bukankah beliau sendiri yang terlebih dahulu membuat kenyataan unilateral tanpa persetujuan semua ahli LPPR dalam sidang media 5 Jan lepas? Mengapa Pengerusi LPPR bersikap dua darjat?,” soalnya.

Oleh itu, tambahnya, Abu Zahar sepatutnya memohon maaf kepada media dan semua ahli LPPR, bukannya membuat kenyataan balas dengan menyalahkan kumpulan berkenaan.

“Saya nasihatkan jika Abu Zahar memohon maaf kepada pihak media dan enam ahli lembaga LPPR tersebut, itu sudah memadai sekiranya beliau beranggapan bahawa kenyataan medianya pada 5 Jan mungkin ‘telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan’ dan ‘sehingga ke tahap menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya’, bukan dengan membuat kenyataan balas menyalahkan media,” katanya. – Roketkini.com