Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Azam Baki tak patut libatkan institusi diraja dalam masalahnya

Oleh Aziera NH

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar cuba untuk mengheret institusi raja berperlembagaan ke dalam kancah masalah defisit keyakinan dirinya sendiri. 

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, tindakannya itu boleh dilihat sebagai membelakangi peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Dilaporkan semalam bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mendakwa bahawa tindakan ‘memfitnah’ dirinya seperti ‘menghina’ YDPA yang telah melantiknya ke jawatan tersebut.

“Beliau dilaporkan mengatakan sedemikian dengan merujuk kepada tindakan undang-undangnya terhadap Lalitha Kunaratnam, yang telah mendedahkan milikan saham berkait dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Syahredzan yang juga merupakan seorang peguam, kenyataan Azam Baki ini seolah-olah seperti ingin melibatkan institusi diraja dalam masalahnya sendiri.

“Tan Sri Azam Baki sudah tentu sedar bahawa menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri.

“Tan Sri Azam Baki telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam erti kata lain, YDPA tidak mempunyai budibicara dalam menentukan lantikan Ketua Pesuruhjaya, selaras juga dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Oleh itu, Syahredzan berkata, Azam Baki digesa untuk menarik balik kenyataan tersebut dengan kadar segera. – Roketkini.com