Uncategorized

DAP umum calon PRN Johor pertama — Sheikh Umar pertahan Paloh

Oleh Wartawan Roketkini

KLUANG 4 Feb. – DAP mengumumkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pilihan Raya dan Pengumuman Calon N.30 DUN Paloh di sini hari ini.

Guan Eng berkata, pencalonan Sheikh Umar bukan sahaja untuk mewakili suara rakyat Paloh, tetapi juga untuk menang dan menjadi Exco Negeri Johor sekali lagi. 

“Kerana kita nak bawa perubahan untuk rakyat negeri Johor,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut Guan Eng, pengumum itu menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor. 

Sheikh Umar merupakan penyandang kerusi DUN Paloh dan mantan Exco Sukan dan Belia Kerajaan Negeri Johor sebelum kejatuhan Kerajaan PH susulan Langkah Sheraton.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Sheikh Umar mengalahkan calon BN dengan majoriti 783 undi. Kemenangan tersebut merupakan kemenangan sulung parti pembangkang sejak kerusi DUN Paloh diwujudkan. – Roketkini.com