Rencana

Paloh paluan gendang pertama PRN Johor 

Oleh Wartawan Roketkini

JOHOR BANGKIT | Semalam, di Jalan Abu Bakar, Paloh, Johor, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali telah diumumkan sebagai calon N30 Paloh bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Sheikh Umar merupakan calon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Beliau kembali semula untuk mempertahankan semula kerusi ini. 

Ketika Kerajaan Negeri Johor di bawah Pakatan Harapan (PH), Sheikh Umar menyandang jawatan Exco Pembangunan Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

Pengumuman calon pertama PH itu sekali gus menunjukkan bahawa Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor. 

Pengumuman calon itu juga mencerminkan kesiapsiagaan PH untuk terus berkhidmat demi rakyat dan berbakti kepada negeri Johor, dengan matlamat bukan sahaja untuk menang kerusi DUN itu tetapi juga untuk memenangi Kerajaan Negeri Johor. 

Sepertimana diucapkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada majlis pengumuman calon tersebut: 

“Kita bertanding bukan sahaja hendak memenangkan saudara Sheikh Umar satu orang sahaja. Kita bertanding bukan hendak menang kawasan DUN Paloh sahaja. 

“Kita bertanding untuk menang kerajaan kerana kita hendak bawa perubahan untuk rakyat negeri Johor,” katanya. 

DUN Paloh menjadi antara kerusi terpenting untuk membolehkan PH kembali membentuk Kerajaan Negeri Johor, serta menjadi batu asas untuk PRU-15. 

Momentum daripada pengumuman calon di N.30 Paloh semalam akan diteruskan dengan beberapa pengumuman calon PH yang lain hari ini termasuk di kawasan DUN N.23 Penggaram. – Roketkini.com