Uncategorized

Segera selesaikan isu lokasi mengundi di sekolah menengah 

Oleh Roketkini 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa segera menyelesaikan isu lokasi mengundi kepada pemilih yang ditempatkan di sekolah menengah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang. 

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim berkata, ini memandangkan berlangsungnya peperiksaan umum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan Mac.

“Bulan Mac merupakan bulan peperiksaan SPM yang bakal dihadapi oleh semua pelajar tingkatan 5. Pada masa yang sama juga situasi di Johor perlu menhadapi PRN pada 12 Mac ini. 

“Keadaan ini sebenarnya akan menimbulkan beberapa masalah berbangkit kerana kebiasaan sekolah dijadikan fasiliti tempat mengundi,” katanya. 

Menurut Marina, pengumuman Menteri Kanan Pendidikan semalam yang menggesa agar sekolah menengah tidak dibenarkan menjadi tempat mengundi boleh menimbulkan kekeliruan kepada pemilih tentang lokasi membuang undi.

Beliau berkata, SPR perlu segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana negara masih menghadapi ancaman pandemik Covid-19 dan kes hariannya semakin hari semakin meningkat. 

Tambahnya, SPR jelas memerlukan lebih banyak fasiliti sebagai tempat mengundi untuk mengelakkan tempat mengundi sesak.

Kata beliau, ini memandangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bakal dilaksanakan untuk elakkan penularan pandemik. – Roketkini.com