Uncategorized

Khairy perlu elak persepsi amalan dua darjat 

Oleh Roketkini

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin harus mengelak persepsi amalan dua darjat, tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. 

Beliau berkata, ini apabila Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) dilihat dibenarkan mengadakan acara yang melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tanpa diganggu, berbanding parti pembangkang. 

“SOP harus dikaji semula untuk memastikan keadilan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Khairy telah mengarahkan kompaun dikenakan terhadap beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional, kerana didapati melanggar SOP tentang penjarakan sosial.

Mereka yang dikenakan kompaun ialah Menteri Kanan Pertahanan merangkap Pengerusi Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, dan Pengerusi BN Johor, merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Jelas Guan Eng, tidak ada kepimpinan melalui teladan kerana Hishamuddin sendiri adalah pengerusi Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 yang diamanahkan untuk menggesa pematuhan orang ramai dalam mengurus dan mengumumkan SOP Covid-19.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu campur tangan dan menuntut Hishamuddin dan Hasni meletakkan jawatan dalam kerajaan. 

Beliau menegaskan, ini kerana mempamerkan keangkuhan, penghinaan terbuka terhadap undang-undang dan pelanggaran disiplin Kabinet yang melanggar asas utama kepada tadbir urus dan pentadbiran yang baik. 

“Apabila penggubal undang-undang dengan sengaja dan secara sedar menjadi pelanggar undang-undang, Menteri dan Menteri Besar tidak lagi layak untuk mentadbir,” katanya. 

Guan Eng berkata, apa guna Khairy mengenakan hukuman denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) kepada Hishamuddin atau Hasni. 

Sedangkan jelas Guan Eng, ia adalah jumlah yang kecil kepada mereka yang mampu membayar denda waima RM100,000 dengan mudah. 

“Itulah sebabnya meningkatkan denda kepada RM10,000 tidak bermakna bagi individu seperti mereka yang tidak mempunyai rasa akauntabiliti awam dan tanggungjawab peribadi. 

“Ini kerana mereka merasakan mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan semuanya boleh diselesaikan dengan wang,” katanya. 

Guan Eng menjelaskan, penalti sedemikian adalah kosmetik dengan denda sekadar sandiwara atau drama palsu untuk meredakan kemarahan orang ramai. 

Denda tidak mencukupi, kata beliau, sebaliknya penggubal undang-undang terbabit perlu meletakkan jawatan kerana sengaja dan dengan sedar menjadi pelanggar undang-undang. 

“Adakah penganjur serta setiap peserta dalam perhimpunan MIC itu juga akan didenda?” soalnya. – Roketkini.com