Uncategorized

Tekad untuk bawa kemajuan di DUN Bekok – Kanan M.

CALON KITA | Membesar dalam keluara yang sangat sederhana, calon Pakatan Harapan bagi DUN Bekok, Kanan A/L Mariappan bertekad untuk membawa kemajuan dalam pelbagai aspek di Bekok.

Selaku anak jati Segamat yang membesar di Ladang Getah Risda Kampung Sekijang, Kanan mula menceburi politik dengan tekad untuk membawa perubahan dalam negara yang selama ini dimonopoli oleh Barisan Nasional.

“Saya mahu negara yang lebih stabil dan maju untuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Mengimbas kembali pengalaman awalnya dalam bidang politik pada tahun 2013, beliau pernah ditahan di dalam lokap Skudai selama empat hari kerana cuba memberhentikan sabotaj terhadap peti undi Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Gerak kerjanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat terserlah terutama usahanya menghantar bakul makanan dan menyediakan kit ujian kendiri kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Skudai dan Stulang.

Selain itu, semasa bertugas sebagai Ahli Majlis Iskandar Puteri, Kanan berusaha membawa usul supaya garis panduan penyewaan dewan untuk majlis pekahwinan diperketatkan di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Kami menerima aduan bahawa dewan-dewan ini disewa oleh pihak ketiga yang kemudian menyewakannya kepada orang ramai,” katanya.

Jelas Kanan, beliau mahukan perubahan kepada Malaysia, jadi beliau berharap agar masyarakat di DUN Bekok akan menyokongnya untuk mencapai cita-cita dan aspirasi tersebut.

“Tujuan utama saya menceburi bidang politik adalah untuk membawa perubahan yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat Malaysia serta menjamin masa depan negara,” ujarnya. – Roketkini.com