Berita

Chong Sin fokus lonjakkan pembangunan bandar Kluang

CALON KITA | Jika dibelek kad laporan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin, kita boleh melihat pelbagai usaha yang telah dijalankan beliau di kawasannya.

Dari aspek kebajikan hingga penambahbaikan infrastruktur, semua telah diliputinya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut. Kesungguhan beliau berkhidmat untuk rakyat di Mengkibol sememangnya diketahui umum.

Semua usaha ini adalah demi mencapai matlamat mempertingkatkan pembangunan Kluang dan kesejahteraan penduduk Kluang. Begitulah semangat yang ada pada Chong Sin.

Pastinya, kesinambungan usaha-usaha yang telah dimulakan beliau perlu diteruskan. Justeru, jika diberi peluang terus mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Chong Sin berkata, beliau ingin merealisasikan lebih banyak projek pembangunan yang memanfaatkan Kluang seperti Taman Railway Kluang.

“Warga Kluang sekalian, sama-sama kita berusaha membina Kluang yang maju dan sebuah bandar yang sesuai didiami (Liveable City), membawa Johor Tengah dan Negeri Johor menuju ke arah pembangunan yang seimbang dan mampan,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa idea serta usaha yang akan dilaksanakannya jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak merangkumi konsep ‘Lembaran Johor Tengah’, yang terdiri daripada gabungan landasan kereta api dan lebuh raya yang boleh membangunkan perindustrian pertanian, pemprosesan dan pelancongan sebagai ‘nadi ekonomi baru Johor Tengah’.

Selain itu, Chong Sin berkata, beliau fokus bagi menjadikan Kluang sebagai sebuah bandar yang sesuai didiami (liveable city) dengan pembentukan sebuah masyarakat yang penyayang, ke arah menjaga keperluan golongan yang tercicir, orang tua dan kanak-kanak.

“Fokus ini supaya Kluang boleh menjadi sebuah bandar yang utamakan golongan orang tua, kanak-kanak dan kurang upaya yang selaras dengan konsep yang diutarakan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” katanya.

Selain itu katanya, beliau juga akan berusaha membentuk bandar Kluang yang kreatif dan mampan menerusi Linear Park, sebuah kawasan landasan kereta api lama yang dapat membawa manfaat ekonomi kepada Kluang.

Dari aspek infrastruktur, Chong Sin menjelaskan, beliau merancang pembinaan jalan pintasan atau bypass menghubungkan Jalan Mengkibol dan Taman Kluang Indah bagi memudahkan pengguna jalan raya sekali gus memendekkan masa perjalanan penduduk.

Dalam pada itu, Chong Sin turut merencana beberapa usaha lain termasuk penggalakan kerja penaiktarafan dan penyelenggaraan di taman-taman rekreasi, membangunkan Gunung Lambak sebagai destinasi pelancongan utama dan kerja-kerja menaik taraf pencahayaan dan pemasangan lampu amaran bahaya di zon kemalangan Jalan Batu Pahat (FT50). – Roketkini.com