Uncategorized

Kita tidak takut Pilihan Raya Umum – Anthony Loke

Anthony Jawab Jujur | oleh Ghafar NS

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook dalam satu sesi live Facebook (FB) semalam menyatakan penularan Covid-19 dan kekecewaan masyarakat terhadap politik menjadi antara faktor mengapa beliau merasakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak patut diadakan dalam masa terdekat.

Semalam, Anthony menjawab salah satu soalan panas daripada moderator, Syahredzan Johan dalam sesi live FB bertajuk “Anthony Jawab Jujur: Mencetus Harapan” iaitu adakah pembangkang Malaysia takut kalah dalam PRU-15, menjadi sebab pihak pembangkang menolak ia diadakan dalam masa terdekat?

Selain penularan Covid-19 dan kekecewaan masyarakat terhadap politik, menurutnya terdapat satu hal lain yang juga penting untuk diambil kira dalam perlaksanaan PRU-15.

“Paling penting sebenarnya ialah peratusan masyarakat yang keluar mengundi.

“Jika peratusan mengundi tidak tinggi, ia akan memberi kesan yang tidak baik bukan sahaja kepada parti politik, tetapi juga kepada sistem pilihan raya, sistem demokrasi dalam jangka masa panjang.

“Ini kerana, jika sebuah kerajaan itu dipilih bukan daripada majoriti rakyat, kredibiliti dan legitimasi kerajaan itu boleh dipersoalkan.” Jelasnya.

Menurutnya, adalah lebih baik kita melaksanakan PRU-15 pada ketika masyarakat kebanyakannya sudah selesa, tidak lagi bimbang dan situasi negara semakin baik.

“Itu pendirian kita dan tidak ada timbul soal kita takut dan sebagainya.

“Jika betul akan diadakan pilihan raya, kita akan masuk bertanding dan kalah atau menang itu perkara biasa dalam pilihan raya,” tambah Anthony lagi.

Beliau juga berpendapat, pilihan raya sepatutnya diadakan secara adil, selamat dan ruang yang secukupnya diberikan kepada rakyat untuk bernafas terlebih dahulu.

Malah katanya, kita perlu melihat ‘mood’ rakyat kini sama ada mereka mahu keluar untuk mengundi ataupun tidak. – Roketkini.com