Kenyataan Akhbar

Rina Harun perlu lakukan libat urus dengan Pemegang Taruh sebelum perkenalkan polisi baharu – Hannah Yeoh

Kenyataan media Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bertarikh 24 Mac 2022

1. TASKA di rumah didefinasikan sebagai taman asuhan yang menetapkan bilangan kanak-kanak seramai 4 hingga 9 orang sahaja dan dijalankan di kediaman sendiri. TASKA di rumah merupakan sistem sokongan berskala kecil yang dijalankan di rumah kediaman pengusaha sendiri.

2. Saya dimaklumkan oleh pihak Kelab Rekreasi Pengasuh Malaysia (KRPM) dan para pengusaha TASKA di Rumah mengenai arahan terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya para pengusaha TASKA di Rumah mendapatkan kelulusan dengan mematuhi syarat mendapat sokongan daripada 3 agensi teknikal iaitu:

• Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

• Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); dan

• Pihak Bomba.

3. Arahan ini tidak pernah dibincangkan antara pihak KRPM atau pengusaha TASKA di Rumah bersama Menteri/Timbalan Menteri KPWKM. Pengusaha dikehendaki beroperasi di rumah lot hujung (corner lot) dan kebanyakan TASKA di Rumah beroperasi di kediaman sendiri yang dibeli atau disewa. Malah syarat kelulusan supaya pengusaha memasang tangga keselamatan di luar rumah atau kediaman yang disewa juga mustahil dilaksanakan. Arahan terbaharu ini telah menyebabkan kekeliruan, tekanan perasaan dan kewangan sehingga membebankan para pengusaha.

4. Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas isu-isu kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, Rina Harun sepatutnya lebih kerap melakukan libat urus dan berdialog dengan pemegang taruh sebelum memperkenalkan polisi baharu yang mendatangkan impak besar/negatif. Contohnya dapat dilihat daripada kegagalan beliau untuk melibatkan pemegang taruh golongan OKU dalam pelaksanaan JKMPay sebelum ini. Proses libat urus dengan pemegang taruh dalam industri pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak adalah elemen terpenting dalam menjayakan polisi yang tepat dan berkesan. Jika keputusan sebegini penting dibuat tanpa libat urus dengan pemegang taruh, apa yang Menteri Rina Harun lakukan selama ini? Saya menggesa beliau segerakan perjumpaan dengan para pengusaha TASKA yang sudah tidak mampu bertahan lagi dalam era pasca Covid.