Isu Semasa

Usul ditolak Dewan Rakyat tak batalkan MoU Kerajaan-PH – Anthony

Oleh Aziera NH

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan usul kerajaan berkaitan SOSMA gagal mendapat sokongan di Dewan Rakyat semalam tidak bermakna pembangkang melanggar perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Kenyataan Anthony itu merujuk usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang gagal mendapat sokongan mencukupi dalam undian belah bahagi di parlimen petang semalam.

“Dalam usul SOSMA ini, tidak ada apa-apa rundingan dengan pihak pembangkang sebelum dibentangkan pada hari ini (semalam).

“Jadi kita bebas mengambil pendirian kita dan itu memang konsisten dengan pendirian kita bahawa SOSMA itu perlu bagi dilihat kembali dan dikaji semula,” katanya dalam satu sidang media di bangunan parlimen semalam.

Tambahnya lagi, selepas undian usul tersebut, beliau bersama Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu telah bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi menjelaskan bahawa usul tersebut bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana menurutnya, PH hanya akan memberikan sokongan penuh kepada dua usul dan rang undang-undang yang diperincikan dalam MoU antara PH dan kerajaan.

“Saya nak bagitahu di sini, ini tidak bermaksud kita telah melanggari MoU kita antara PH dengan kerajaan kerana usul berkenaan SOSMA ini ataupun usul-usul lain ini dia tak ada berkaitan dengan MoU.

“MoU di antara PH dengan kerajaan ialah hanya dua perkara sahaja yang kita akan mengambil pendirian berkecuali ataupun tidak menyokong iaitu untuk belanjawan tahunan dan juga usul undi percaya terhadap YAB Perdana Menteri.

“Jadi, selain daripada dua perkara ini, yang kita perlu rundingkan bersama sekiranya ada apa-apa usul atau RUU ini, maka untuk semua RUU atau usul-usul yang lain perlulah dirundingkan dengan kita terlebih dahulu,” katanya. – Roketkini.com