Uncategorized

DAP peduli sinari Ramadan dalam endemik

oleh Ghafar NS

Tahun ini seperti tahun-tahun lain, wakil-wakil rakyat DAP terus memberi khidmat, menyinari sambutan Ramadan Muslimin Muslimat di kawasan masing-masing.

Edisi #DAPPeduli kali ini menghimpunkan mereka-mereka yang aktif menyampaikan sumbangan pada mereka yang memerlukan di setiap negeri.

JOHOR

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada keluarga asnaf di kawasannya seperti tahun-tahun sebelum. Sambil menyampaikan bantuan, beliau turut meluangkan masa bertanya khabar dan keadaan keluarga-keluarga ini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menyampaikan sumbangan dana kepada surau di kawasannya melalui pejabat khidmat beliau.

NEGERI SEMBILAN

Ahli Parlimen Seremban, merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memberi sumbangan RM500 kepada para petani yang terkesan akibat banjir pada Disember lalu, seterusnya bagi meringankan beban mereka pada Ramadan kali ini.

Beliau juga turut menyumbangkan peruntukan kepada 3 buah masjid dan 2 buah surau di kawasan Simpang Durian pada satu majlis berbuka puasa yang dianjurkannya bersama ahli-ahli MPKK.

PAHANG

Adun Ketari, Young Syefura Othman meluangkan masa berbuka puasa dan solat maghrib bersama-sama para jemaah di Surau Qariah Muhibbah pada 6 April 2022. Beliau mengambil peluang beramah mesra bersama para jemaah dan turut memberi sumbangan kepada wakil jawatankuasa surau tersebut.

SELANGOR

Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof turut berkesempatan menunaikan solat sunat Terawih dan moreh bersama jemaah di Taman Desa Raya. Beliau juga turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi pembangunan semula Pusat Komuniti kawasan itu yang telah musnah dilanda banjir.

KUALA LUMPUR

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh melalui pejabatnya telah memberi sumbangan bakul Ramadan kepada 150 buah keluarga di sekitar Segambut pada 2 April 2022.

Selain itu, 9 buah masjid dan 41 buah surau di Segambut telah menerima sumbangan dana dan buah kurma. Setiap masjid menerima dana RM5,000 manakala surau menerima RM2,000 bagi membantu mengimarahkan rumah-rumah ibadat ini terutama di bulan Ramadan.

PULAU PINANG

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto meninjau karpet dan langsir baru yang dipasang di Surau Flat Teluk Indah yang menerima peruntukan daripada pejabatnya. Karpet dan langsir baru ini siap dipasang untuk keselesaan jemaah sejak 1 Ramadan lagi.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bersama-sama Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid telah meluangkan masa mengedarkan buah kurma kepada para pengunjung pasar ramadan Taman Tun Sardon. Mereka juga turut mengedarkan apron kepada para peniaga di situ pada 5 April 2022.

SABAH

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk yang menyambut Ramadan, sambil ikut berbuka puasa bersama sebuah keluarga di kawasannya.

Awal Ramadan ini menyaksikan ramai wakil rakyat DAP aktif menyalurkan bantuan yang rata-ratanya bagi memastikan beban sesetengah masyarakat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19, lebih ringan untuk ditanggung. – Roketkini.com