Kenyataan Akhbar

Isu kapal perang TLDM: Malaysia terlepas peluang pemindahan teknologi penting LCS kerana penyelewengan BN

Kenyataan media Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Skandal LCS telah menyebabkan negara kita terlepas peluang untuk pemindahan teknologi (technology transfer) penting pembinaan kapal tempur. Ini mengikut kenyataan mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz bin Jaafar, bahawa rekabentuk asal LCS yang dipilih oleh Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) ialah jenis SIGMA oleh syarikat pembuat Belanda, Damen Shipyards. 

Syarikat tersebut telah bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hubnya. Ini sudah tentu akan membolehkan pemindahan teknologi penting dalam industri pembuatan kapal tempur serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

Pemilihan rekabentuk SIGMA diputuskan secara bersama dalam mesyuarat tertinggi yang dihadiri sendiri oleh Panglima Tentera Laut. Mengikut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), mesyuarat tersebut telah diadakan sebanyak 6 kali dari bulan October 2010 sehingga Mei 2011. Keputusan terakhir telah dibuat dengan persetujuan Menteri Pertahanan pada 24 Mei 2011.

Namun, hanya lebih kurang sebulan selepas itu, pada 11 Julai 2011, tanpa merujuk kepada TLDM, Menteri Pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi telah mengubah keputusan mesyuarat dan mengenepikan rancangan TLDM dengan memilih rekabentuk lain daripada syarikat yang baru di Perancis.

Syarikat Perancis ini telah disiasat dan didakwa di mahkamah Perancis atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian kapal selam Scorpene dan Agosta oleh kerajaan Malaysia. 

Satu lagi teknologi penting ialah sistem pengurusan tempur (combat management system). Sistem asal yang dipilih oleh TLDM ialah TACTICOS yang sudah pun diguna-pakai atas kapal-kapal TLDM iaitu KD Kasturi dan KD Lekir. Pemindahan teknologi juga telah berlaku di mana penyelenggaraan sistem ini dibuat oleh sebuah syarikat teknologi tempatan. Kini semua ini telah dihentikan.

Pada 26 September 2011, Ahmad Zahid Hamidi telah menukar rancangan asal TLDM tersebut dan sebaliknya memilih sistem SETIS. Sistem SETIS yang dipilih oleh Menteri bukan sahaja lebih mahal, malah sistem ini masih belum dibangunkan dengan sepenuhnya dan berisiko untuk luput (obsolete) dalam jangka masa pendek 5-10 tahun. Paling tidak munasabah adalah, sistem ini tidak mampu untuk berintegrasi dengan kebanyakan peralatan pilihan TLDM. Syarikat yang akan menyelenggarakan sistem ini ialah syarikat usahasama yang dikawal oleh syarikat Jerman. 

Disebabkan penyelewengan oleh kerajaan Barisan Nasional, skandal LCS ini bukan sahaja menyebabkan kerugian berbilion ringgit duit cukai rakyat Malaysia dan sehingga kini kapal LCS gagal disiapkan, malah negara kita kehilangan peluang pemindahan teknologi penting dalam industri pembuatan kapal tempur LCS. – Roketkini.com