Uncategorized

Demi kemajuan negara, sistem demokrasi berparlimen mesti dipertahan dan diperkasa – Anthony Loke 

Kenyataan Hari Kebangsaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada 30 Ogos 2022

Rakyat Malaysia dapat merasai kemeriahan sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini sama ada di Dataran Merdeka mahupun di peringkat negeri di seluruh negara. Perarakan Hari Kebangsaan yang terakhir sebelum wabak Covid melanda ialah pada tahun 2019 iaitu 3 tahun yang lalu.

Namun, erti sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja diterjemahkan dalam bentuk perarakan dan pertunjukan oleh badan beruniform tetapi sama ada rakyat secara amnya dapat melihat satu hala tuju yang jelas tentang kelangsungan dan perjalanan negara kita seterusnya.

Asas pentadbiran negara kita ialah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Untuk memastikan kemajuan negara, sistem demokrasi berparlimen kita mesti dipertahan dan diperkasakan.

Dalam keadaan politik yang unik dalam tempoh 12 bulan yang lalu, di mana wujudnya satu persefahaman rasmi di antara kerajaan dan pembangkang, maka pelbagai pembaharuan perundangan termasuk yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat direalisasikan.

Keadaan seperti ini tidak pernah dinikmati oleh mana-mana pentadbiran terdahulu. Justeru itu, pentadbiran Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakop seharusnya menggunakan peluang yang sedia ada dengan sebaik-baiknya untuk melaksanakan lebih banyak pembaharuan dan reformasi dalam insititusi kita untuk memperkuatkan sistem demokrasi negara dalam baki tempoh beliau.

Di antara agenda yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat untuk membina semula keyakinan orang ramai terhadap sistem politik negara termasuklah;

a)    Menghadkan tempoh Perdana Menteri kepada maksima 10 tahun (Janji ini yang termaktub dalam MOU di antara Kerajaan Persekutuan dengan PH  masih belum tercapai)

b)    Menggubal Akta Pendanaan Politik (Political Financing Act) untuk mengawal selia semua derma politik sebagai salah satu cara untuk mencegah rasuah dan memberikan pendanaan awam kepada parti-parti politik

c)    Menggubal Akta Dana Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund Act) untuk menjamin peruntukan yang adil kepada semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang)

d)    Menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen (Fixed-Term Parliament Act) untuk memastikan kestabilan politik dan ketentuan untuk para pelabur dan peniaga berkenaan tarikh pilihanraya.

e)    Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan untuk mengasingkan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya

Lima agenda besar yang dinyatakan di atas telah pun dibincang secara meluas oleh masyarakat sivil dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan sebahagiannya telah diberi komitmen secara prinsip oleh Perdana Menteri sendiri.

Banyak lagi pembaharuan yang perlu dilaksanakan pada masa hadapan untuk membina kekuatan sistem pentadbiran negara kita. Saya yakin semua rakyat Malaysia mengimpikan negara kita terus maju ke hadapan dengan berpaksikan kepada prinsip doktrin pengasingan kuasa untuk memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terjamin dan sistem kehakiman yang bebas dari sebarang pengaruh luar.

Saya menyeru Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri untuk bertindak dan membuat keputusan dengan pertimbangan sebagai Ketua Kerajaan Malaysia dan bukan atas kapasitinya sebagai pemimpin parti. Sebagai Perdana Menteri, sebarang keputusan beliau perlu mengambil kira kepentingan negara dan rakyat untuk jangka masa panjang dan bukan kepentingan politik semata-mata.

Sekiranya Dato’ Seri Ismail Sabri berani melawan arus dan menangkis segala tekanan politik dalaman, beliau akan mampu melaksanakan pembaharuan yang mempunyai implikasi positif jangka panjang kepada negara dan masyarakat kita.

Di atas semangat Hari Kebangsaan, marilah kita sama-sama berdiri teguh di bawah panji Jalur Gemilang dan melupakan sementara bendera parti masing-masing demi mencapai agenda yang lebih besar untuk kepentingan negara.

Selamat Hari Kebangsaan ke-65! – Roketkini.com