Wawancara

Segelas teh tarik bersama Gobind

Gobind Singh Deo bukan sahaja terkenal sebagai seorang peguam hak asasi tetapi juga anak kepada tokoh DAP Karpal Singh. Ahli Parlimen Puchong ini telah meluangkan masa bersama penyelaras Roketkini Mazir Ibrahim untuk berkongsi pandangan tentang hal-ehwal semasa.

Tentang latar belakang saudara, bagaimana menjadi pengamal undang-undang dan seterusnya sebagai ahli politik?

Keluarga saya memang sebuah keluarga yang sekian lama telah terlibat dengan politik. Justeru sejak kecil lagi saya memang banyak didedahkan dengan politik serta apa yang diperjuangkan ayah saya dan DAP.

Sebenarnya saya tidak berhasrat untuk menjadi seorang ahli politik dan seorang peguam. Tetapi setelah ayah saya ditahan di bawah ISA pada tahun 1987, iaitu Operasi Lalang, masa itu umur saya 14 tahun, saya dapat rasa bagaimana hak-hak seorang itu dipermain dan diperkecilkan begitu sahaja.

Bermula dari kejadian itu, bermula kesedaran betapa pentingnya seseorang mengetahui haknya dari segi undang-undang dan betapa pentingnya kita sebagai anak Malaysia mencebur diri dalam bidang politik supaya kita dapat hapuskan undang-undang zalim ini.

Dari situ mulanya, bukan sahaja dengan ISA, saya juga sedar dengan isu-isu lain dan konsep yang dibawa oleh DAP untuk mewujudkan sebuah negara berdasarkan konsep Malaysia untuk rakyat Malaysia dan bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia, untuk mengambil bahagian dalam keseluruhan proses ini.

Kalau kita melihat sahaja, saya rasa perubahan tidak akan dicapai. Kita perlu ambil bahagian, tampil kehadapan dan membantu dalam proses perubahan. Justeru bermulanya hasrat saya mencebur diri dalam politik, waktu itu umur saya 14 tahun. Selepas ayah saya dibebaskan, iaitu Januari 1989, mulalah saya semakin erat dengan beliau dan ketika itulah saya buat keputusan untuk belajar undang-undang supaya dapatlah seperti mana saya katakan tadi membantu dalam proses perubahan negara ini.

Dari kaca mata peguam, bagaimana saudara melihat kes Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apakah yang dikatakan zalim, apakah yang dikatakan tidak adil?

Memang banyak isu yang dibawa khususnya oleh barisan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kalau saya ulas satu per satu, kena buat penjelasan yang sangat panjang dan lama. Bagaimana pun, apa yang penting adalah dari segi kredibiliti saksi kerana kalau kita lihat dalam kes kesalahan seksual, undang-undang tetap menerima bahawa cukup senang seseorang itu membuat tohmahan.

Jadi sesiapa pun boleh dengan mudahnya mengatakan bahawa beliau telah dikenakan tindakan… kesalahan (serangan) seksual itu. Sungguh susah untuk seseorang itu menolak khususnya dalam kes seperti Seksyen 377 di mana apa yang kita boleh gunakan untuk menyokong tohmahan itu adalah bukti perubatan.

Jadi dalam kes ini, kalau kita lihat apa yang dikatakan oleh pengadu, kalau kita lihat dari keterangan perubatan, memang terdapat keraguan sama ada berlaku atau tidak, bagaimana terdapat kemasukan bahan plastik dan sebagainya itu.

Keduanya, isu berkenaan dengan kehadiran air mani dan bagaimana isu itu diulas oleh pihak pendakwaan sekadar wujud lebih daripada spesimen seorang di situ dan itu juga menjadi satu aspek yang membawa kepada tanda tanya.

Sebagai peguam, memang itu sudah cukup untuk satu keputusan dibuat bahawa terdapat keraguan munasabah. Tetapi sama ada wujud atau pun tidak, mahkamah memutuskannya. Jadi kita juga lihat pembelaan yang dibawa, Anwar memang menceritakan bahawa ini direkakan dan terdapat pihak-pihak tertentu yang berada di sebalik keseluruhan tohmahan ini.

Itu juga menjadi satu aspek di mana mengikut barisan peguam Anwar, perjumpaan telah dibuat untuk memanggil semua saksi yang relevan yang boleh membantu tetapi mereka tidak dapat memanggil saksi-saksi tersebut. Itu juga menimbulkan tanda tanya.

Pada pandangan saudara bagaimana boleh rakyat reform badan kehakiman  supaya isu kredibiliti itu dapat dibetulkan.

Ada dua aspek penting di sini.

Pertama, kita perlu memastikan bahawa sistem penghakiman kita adalah bebas. Tidak ada campur tangan pihak ketiga dalam sesuatu keputusan itu dibuat. Setakat mana kebebasan hakim tersebut akan membawa kepada sistem yang adil itu terpulang kepada kebijaksanaan hakim tersebut juga.

Kita kena lihat kepada sistem penghakiman tersebut, kebebasan seseorang hakim itu untuk bersuara, untuk membuat apa yang beliau rasa adalah berpatutan dan beliau juga harus mempunyai ruang dalam undang-undang untuk membuat apa yang boleh dikatakan betul dalam keadaan tertentu.

Jadi kalau kita ada undang-undang yang mengikat kebebasan hakim tersebut misalnya ambil contoh akta hasutan di mana Parlimen menggubal akta hasutan tersebut dengan mengikat kepada definisi apa yang terjumlah dalam hasutan.

Walau pun hakim tersebut itu terasa bahawa apa yang berlaku itu tidak seharusnya menjadi atau menjumlah kepada sesuatu kesalahan, tetapi oleh kerana terikat dengan undang-undang tersebut beliau terpaksa membuat satu keputusan.

Ini akan menjadi aspek-aspek yang kita perlu lihat.

Pertama, jika kita nak betul-betul mereformasikan sistem perundangan, sistem kehakiman, sistem keadilan, maka perubahan haruslah dibawa melalui tahap-tahap yang berbeza.

Kedua, kita kena ada hakim-hakim yang berkaliber, hakim yang bijaksana untuk melakukan apa yang betul dalam keadaa-keadaan tertentu.

Ketiga, apa yang cukup penting ialah undang-undang yang diberikan kepada hakim tersebut yang digubal oleh Parlimen supaya hakim tersebut boleh mengguna pakai undang-undang tersebut dan undang-undang itu perlu memberi ruang dan kelonggaran serta kebebasan kepada hakim itu membuat apa yang betul dalam keadaan tertentu.

Ini sedikit aspek, ada lagi, tetapi ini yang perlu diberikan keutamaan.

Sebagai wakil rakyat di Puchong, bagaimana saudara melihat dan menyelesaikan masalah rakyat?

Oh tak ada masalah, tak ada masalah langsung. Saya cukup bergaul dengan semua masyarakat di Puchong dari semua latar belakang. Kita ada Cina, India, Melayu, Orang Asli, orang dari Sabah dan Sarawak, kita ada semua.

Dan Puchong juga ada orang asing, jangan lupa, dan itu juga satu masalah. Sebagai Ahli Parlimen, bila masalah itu timbul saya perlu menghalusinya, kita tidak boleh tolak kerana mereka orang asing. Kita kena lihat.

Berbalik kepada apa yang dikatakan, saya memang tidak ada masalah. Khususnya dengan orang Melayu, saya bekerja cukup erat dengan Melayu di kawasan perkampungan. Saya lihat PAS mempunyai penyokong-penyokong akar umbi yang besar di kawasan-kawasan tersebut.

Saya rasa, saya diterima secara baik oleh mereka. Setakat sekarang memang tidak ada sebarang aduan. Saya melihat melalui perkhidmatan yang saya berikan. Bila kita beri perkhidmatan, kita jumpa dan nampak masalah. Selain daripada perkhidmatan itu, saya kerap turun padang, saya antara Ahli Parlimen yang cukup kerap turun ke kampung dan merata tempat untuk berjumpa orang.

Sebab ramai yang tidak dapat datang ke pejabat saya, mungkin mereka tidak ada masa dan sebagainya, dan saya turun ke tempat mereka. Dan bila saya masuk ke kawasan-kawasan perkampungan, memang tidak ada masalah, semuanya OK. Ya, saya rasa semuanya OK, tiada masalah.

Peningkatan sokongan rakyat di Puchong terhadap saudara semakin tinggi sejak 2008?

Ya, ya, memang. Bila saya mula bekerja kali pertama di Puchong, kawasan tersebut luas. Masa itu banyak tempat dalam kawasan saya ketika itu belum saya jumpa. Tetapi selepas tiga tahun ini, memang kita sudah turun ke keseluruhan, namun masih ada dua tiga tempat belum sampai sebab Puchong ini luas. Jadi saya pun berharap dalam masa terdekat kita akan cover semua. Tetapi saya memang cukup yakin bahawa rakyat kawasan tersebut menerima saya dan puas hati dengan perkhidmatan yang saya berikan.

Harapan saudara dalam konteks DAP, dalam pilihan raya umum akan datang?

Saya cukup harap rakyat Malaysia memberi Pakatan Rakyat peluang untuk memerintah di tahap kerajaan persekutuan. Sebelum 2008, ramai melihat DAP sebagai satu parti yang cukup memperjuangkan isu-isu pembangkang kerana DAP adalah parti pembangkang. Kita tidak pernah jadi pemerintah.

Satu isu yang dibangkitkan adalah sama ada kita boleh memerintah sesebuah negeri. Kita kena faham, ya ramai yang nak memberi peluang tapi kadang-kadang ramai juga mereka yang merasa was-was, boleh atau tidak. Ramai yang tanya saya, “Adakah kamu sedia kalau kita nak beri kerajaan? Itu lain, ini bukan pembangkang, ini pentadbiran.”

Jadi saya percaya, saya cukup percaya dan bukan sekadar dalam fikiran saya tetapi saya melihat ramai juga setuju bahawa pihak DAP telah pun menunjukkan kita boleh memerintah bersama dengan Pakatan Rakyat. Bukan sahaja boleh memerintah, tetapi jauh lebih baik daripada Barisan Nasional. Contohnya Pulau Pinang, Selangor.

Cukup ramai kritik dan sebagainya. Tetapi persoalannya, kita katakan memang kita tidak sempurna, tidak ada sebuah kerajaan yang 100 peratus sempurna. Tetapi apa yang kita tunjukkan ialah, kalau seseorang itu mempunyai perasaan was-was, boleh atau tidak? Saya yakin bahawa kita telah menunjukkan dan saya yakin ramai yang terima bahawa kita boleh mentaddir.

Dan berbalik kepada soalan anda tadi, harapan saya ialah dan saya meminta kepada rakyat agar bagi kita peluang untuk memerintah kerajaan pusat. Biar kita tunjukkan bagaimana kita boleh memperbetulkan semua kesalahan dan masalah. Bukan sahaja ekonomi, malah dan terutamanya juga mewujudkan keharmonian kaum bahawa kita dalam satu keluarga yang sama dan kita berjuang untuk semua kaum.

Itu apa yang menjadi matlamat utama kita dan dalam masa sama kita bekerjasama dengan PAS dan PKR, tiada masalah. Kita bersedia, jika peluang tersebut dan kalau diberikan saya cukup yakin kita dapat menunjukkan bahawa kita akan berjaya. – Roketkini.com