Wawancara

Wawancara Roketkini bersama A. Samad Said – Bah. I

Hanyutkan kotoran hanyir dari bumi ini…

Bahagian Pertama

“Entah mengapa terlalu terasa pergolakan pitam,

segala lendir-lendir nanah masih pekat melimpah.

Dan petang yang datang dijangka membawa harum harapan

selalu petang yang sudah kehilangan senyumannya.

Bertundalah kekalahan dalam kehidupan manusia

tapi kita mesti pantang berpaling dari dikarami kecewa.”

— petikan dari puisi bertajuk Hitam oleh Sasterawan Negara A Samad Said, yang ditulis beliau pada tahun 1956 ketika Persekutuan Tanah Melayu sedang hangat dalam gelora menuntut kemerdekaan.

A Samad Said atau Abdul Samad bin Muhamed Said tidak dapat tidak merupakan sosok penting dalam kesusasteraan Melayu moden, malah beliau yang dilahirkan pada 9 April 1935 ini juga kritis dan lantang bermadah mengalunkan puisinya bagi menegakkan apa yang dilihat beliau sebagai kebobrokan, kehodohan institusi politik.

Mengikut resmi padi, makin berisi makin menunduk, tetapi buat Sasterawan Negara ini, beliau memilih untuk tidak seperti padi. Ini jelas ditonjolkan beliau dengan kerap turun ke jalan raya memimpin dan bersama rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sistem perjalanan politik negara yang kian meruncing ini.

Tidak hairan, kian lama, walau usianya makin tua, beliau dilantik pula sebagai Pengerusi Bersama Bersih.

Baru-baru ini, wartawan Roketkini Mazir Ibrahim dan Amaluddin Zhafir bersama jurugambar Wira Andika berkesempatan berkenalan dengan lebih dekat dengan beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad.

Dari jalur seni, sejarah sehinggalah kepada isu politik tanah air, beliau melampirkan buah fikiran beliau dengan penuh lemah lembut (namun berisi dan padat katanya), sebagai Sasterawan Negara, sebagai pelukis, sebagai pemerhati masyarakat, dan sebagai perakam kisah buat generasi akan datang.

Dipersilakan membaca wawancara bersama Pak Samad yang boleh dianggap sebagai ‘the living legend’ ini.

Sedikit latar belakang Pak Samad yang jarang-jarang diketahui umum.

Ramai orang tak tahu saya seorang anak yang gagap, susah untuk bercakap. Oleh kerana itu menjadikan saya anak yang suka menyendiri. Jadi kerana itu juga minat saya tertumpu untuk membaca.

Kebetulan saya mempunyai guru-guru yang baik di sekolah, dari pelbagai bangsa. Mereka ini sangat simpatik kepada saya, bukan sahaja kerana kehidupan saya, tetapi juga kerana minat saya. Minat membaca itu kerana saya tidak berinterasi dengan orang kerana gagapnya, oleh itu masa kecilnya tertumpu kepada membaca.

Yang lain, yang jarang diketahui barangkali minat saya dalam lukisan. Itu amat tidak diketahui orang. Tapi ada diusahakan untuk dipamerkan lukisan saya dan untuk dijualkan.

Itu sesuatu yang tidak menonjol… Tapi sebenarnya isi daripada lukisan itu agak selari dengan sikap saya, pendirian saya tentang hal-hal yang tertentu. Lukisan-lukisan itu biasanya berbentuk hitam-putih tetapi berisikan puisi-puisi tertentu. Dan sejauh ini saya ada sebanyak 100 lukisan yang saya punya sendiri.

Di samping lukisan saya sendiri, saya juga membeli lukisan orang. Saya juga mempunyai lukisan dari teman-teman yang boleh dikatakan sekarang ini sedang menyuburkan dunia lukisan sekarang. Dan saya ada beberapa lukisan yang mewakili hasil cipta teman-teman itu. Ada kira-kira dalam 60, 70 lukisan, serendah RM500 dan setinggi RM18,000.

Seniman generasi sekarang yang Pak Samad ikuti, dan pandangan Pak Samad mengenai subjek yang ditimbulkan generasi kini?

Ya, memang sekarang ini saya berlegar saja dengan teman artis muda. Minat saya adalah untuk memahami, apa yang menjadi subjek mereka ke dalam lukisannya. Maksudnya, apakah yang ingin diluahkan? Sesuatu yang sama ada digemarinya, atau sesuatu yang dibencinya.

Jadi lukisan-lukisan itu memberi saya peluang untuk memahami isi hati dan perjuangan angkatan muda. Kalau dari segi lukisan memang terbayang keresahan, ertinya lukisan itu membayangkan keretakan-keretakan yang sedang berlaku dalam dunia siasah kita sekarang. Itu antaranya dapat ditangkap dalam lukisan seperti Rahmat Haron…Itu memang jelas.

Bagaimana Pak Samad melihat karya generasi kini dalam konteks demografi sosio-politik?

Apa yang berlaku sekarang adalah kerlipan-kerlipan rakaman tentang keresahan kelompok muda terhadap pergolakan yang sedang berlaku sekarang dalam dunia siasah. Dan nampaknya, memang sudah muncul beberapa bekalan intelektual yang bersedia untuk bersoal jawab. Malah besedia juga untuk mengadakan tindakan-tindakan demonstran yang menguji.

Dan saya tidak mengatakan bahawasanya mereka ini langsung saja masuk ke dalam dunia gelora demonstran itu secara mereka tidak faham. Dan saya kira apa yang sedang berlaku sekarang ini dan beberapa mahasiswa yang berlawan untuk memansuhkan AUKU itu, itu adalah bibit-bibit yang harus diperhatikan.

Memang benar bahawasanya jumlah itu sekarang ini agak kecil, tapi jangan terperanjatlah kalau gelombang ini akan berkembang, dirangsang oleh gelombang-gelombang reaksi dunia dikalangan orang-orang muda. Sebab dunia siasah sudah terlalu lama sangat dikendalikan oleh orang tua yang sudah kehilangan idealisme, kehilangan cita-cita. Tidak lagi mereka berpeluang untuk berjuang untuk mengasaskan satu idealisme atau landasan perjuangan demi kebajikan kebangsaan.

Perbezaan antara Asas 50 dan signifikannya dengan zaman sekarang?

Secara mudah Asas 50 (Angkatan Sasterawan 1950) mempercayai bahawasanya masyarakat harus dibela dan pembelaan itu harus dilakukan melalui medium sastera. Tapi oleh kerana tahun itu, tahun menentang penjajahan, jadi seni itu juga dirasakan wajib dimanfaatkan untuk menyanggah penjajahan.

Di samping cita-cita yang nampak sampingan, tapi masih, Asas 50 ialah perjuangan untuk mengkayakan bahasa. Sebuah bangsa yang mula merdeka dan mengkhayalkan bahasa itu akan menjadi bahasa yang meluas.

Sebab itu pandangan Asas 50 atau pun contoh-contoh yang diambilnya daripada Angkatan 45 di Indonesia sebab kita tidak memandang Bahasa Melayu itu sebagai bahasa untuk 20 juta orang, kalau sekarang misalannya, tetapi bahasa untuk 300 juta orang di dalam wilayah Nusantara.

Oleh kerana orang-orang Asas 50 yang asas sudah tidak ada, jadi perjuangan itu tidaklah seghairah dulu. Jadi angkatan-angkatan baru tidak terikat oleh Asas 50 walau pun mereka tahu tentang Asas 50 dan mereka tunduk daripada iklim yang sama sekali lain.

Yang tinggal, saya fikir, ialah kesedaran bahawasanya seni itu adalah alat untuk memperjuangkan keadilan untuk masyarakat. Digambarkan secara kepincangan secara jujur dan merangsang atau mengharapkan daripanya itu disedari bahawasanya masyarakat kita masih bobrok, sedang bobrok dan tidak harus dibiarkan itu bobrok.

***

Kotornya Hanyir di Bumi Ini

Terhenyak senak rasa di dada melihat manusia gila

lupa jalan jernih menuju Tuhan yang Maha Pengasih.

Liar ketawa mereka – api darah terhambur merah

sedia membakar bersih sesama manusia tertindih.

Dadanya tiada luka – kemanusiaan tiada terpelihara,

sesama yang bernafas masih sebegitu ganas.

Patahlah tangan-tangan menantikan kebahagiaan yang berpanjangan

masih belum berlabuh di teluk bahagia yang terlalu jauh!

Kecemasan berlaku di antara menara harapan yang palsu,

manusia segera membahagi keadilan sama rata

terlantar pun insan sepi, yang menghenyakkan insan sendiri

mana hati budi yang sepatutnya terpelihara wangi!

Hanyutkan kotoran hanyir dari bumi sebusuk ini

baharulah tanah makmur dengan keadilan mengembang subur!

Utusan Zaman

11 Mac 1956

***

Maka, atas semangat itu, Pak Samad menyertai gerakan awam?

Saya tidak mahu memandangnya dari sisi itu. Saya memandang bahawasanya kesusasteraan tugasnya adalah merakamkan. Ertinya apa yang sedang berlaku, apa yang sudah berlaku atau pun apa yang dikhayalkan akan berlaku. Cuma oleh kerana saya seorang penulis, makanya saya harus merasakan, ya, saya harus merakam sahaja. Hasil cipta ini ialah gunanya untuk di baca.

Tapi saya merasakan kegeloraan siasah di tanah air itu sudah begitu boleh dikatakan agak memuncak, makanya saya sendiri, dan saya tidak mewakili sasterawan-sasterawan lain, saya sendiri bergaul di tengah-tengah kelompok yang berjuang untuk mendapatkan satu dunia yang adil, saksama, satu dunia yang tidak perkauman.

Dan saya merasakan sudah tidak lagi cukup seorang sasterawan itu hanya menulis. Kalau dia menulis, dia harus menunggu orang untuk membaca dan pembaca memang sedikit sebenarnya oleh kerana minat pembacaan itu telah diganggu dengan minat-minat yang lain.

Dan kerana itu, dan saya mengambil masa yang lama sebenarnya untuk turun ke tengah masyarakat yang bergelora dari sisi itu. Boleh dikatakan hanya tahun sudah, tahun sudah usia saya 75 tahun, tapi tidak bererti saya tidak melihat segala apa yang berlaku selama ini.

Tetapi, terakhir, memandangkan tidak cukup saya fikir bahawasanya sastera tidak dapat membibitkan, mencetuskan gelora untuk turut memungkinkan kelahiran sebuah masyarakat yang tidak tercapai oleh kita sesudah setengah abad.

Dan itu sebenarnya membuat saya berfikir, “mengapa tidak?” Kalau ada unsur-unsur yang baik yang saya bleh menyertai, mengapa tidak?

Dan saya sendiri pun tidak tersangka sebenarnya bahawasanya saya diterima begitu sahaja, dan diterima baik, sebaik kalau diikuti betul-betul, perjuangan saya yang pertama, yang terpaksa saya berada di tengah jalan raya ialah  memperjuangkan bahasa saya, menghentam PPSM dan yang kedua itu Bersih. Dan itu bukan kehendak saya sahaja, penerimaan daripada masyarakat bahawasanya saya wajar berada di tengahnya.

Bagaimana keterlibatan golongan seni dapat membantu menggerakkan masyarakat?

Secara mendadak, tidak. Tetapi secara meresap, ia menjadi. Pertumbuhan buku-buku dalam bahasa Melayu misalannya, itu sahaja gambaran bahawa bahasa itu sedang berkembang. Mungkin ia tidak begitu berkembang di sekolah oleh kerana keyakinan pihak kerajaan bahawasanya bahasa inggeris itu harus diutamakan untuk mengejar kehidupan duniawi, mungkin.

Tapi kalau anda tengok perkembangan-perkembangan bahasa walau pun tidak sepenuhnya bermutu, perkembangan itu agak berselerak sekarang. Dan bila saya katakan perkembangan bahasa itu, tidak mesti penggunaan bahsa sahaja, tetapi dia masuk ke dalam dunia filem juga.

Berapa banyak hasil cipta dalam bahasa Melayu yang tersebar di televisyen? Terakhir ini, bagaimana sebuah novel yang tidak tersangkakan, Ombak Rindu, menjadi begitu dinematik. Itu adalah contoh-contoh bayangan bagaimana dunia seni menjalar dan masuk ke dalam hati orang ramai.

Jadi saya fikir walau pun tidak dipandang murni atau tidak dipandang menguntungkan dari sisi duniawi oleh sekelompok orang yang memerintah, tetapi saya fikir kesedaran itu sedang berkembang.

Dan saya lihat anak-anak muda dalam LRT duduk membaca novel misalannya. Tidak sahaja minat membaca itu tumbuh, tetapi minat membaca buku Melayu itu sudah berkembang. Itu amat menyenangkan hati saya.

Bersambung…

Bahagian kedua: Perjuangan politik, kebebasan, hak asasi, demonstrasi…