Kenyataan Akhbar

MUHIBAH tema ulang tahun ke-55 DAP

Kenyataan media Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng pada 3 Mac 2021:

Demokratik. Adil. Peduli: MUHIBAH

Parti Tindakan Demokratik bakal menyambut ulang tahun yang ke-55 pada 18 Mac 2021 sebagai sebuah gerakan politik yang berprinsip, progresif, dan berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang bersatu, adil, bebas, dan makmur.

Demokratik. Adil. Peduli: MUHIBAH adalah tema yang tepat untuk mengukuhkan komitmen kita terhadap idea-idea yang berteraskan perspektif Malaysia berhubung amalan bersatu walau berbeza, persaudaraan berbilang kaum dan keharmonian antara agama, serta aspirasi peluang saksama, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi, dan kebebasan demokratik. Inilah teras Impian Malaysia yang menjadi pegangan kita sejak 55 tahun lalu.

Ubah

Sejak parti kita ditubuhkan pada tahun 1966, DAP sentiasa kekal sebagai sebuah parti berbilang kaum, berjuang demi kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, atau Orang Asli. DAP berbangga mempunyai perwakilan rakyat daripada semua komuniti kecuali Orang Asli, setakat ini.

Membina kerjasama politik dalam masyarakat yang berbilang etnik dan budaya bukanlah satu perkara yang mudah. Proses pembinaan negara memerlukan gabungan kerjasama. Hakikatnya, tidak ada mana-mana satu parti yang boleh menang bersendirian ataupun menang tanpa sokongan yang merentasi kaum. Dengan rakan seperjuangan kita yang berkongsi prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, kita boleh sama-sama membina negara ini.

DAP menyedari betapa pentingnya berkerjasama dengan rakan-rakan yang berkongsi teras prinsip yang bersesuaian, komitmen untuk melaksanakan pembaharuan dan memperkasakan demokrasi. Sedekad yang lalu, cogan kata perjuangan kita adalah UBAH, diperkenalkan oleh rakan parti kami, Sdr Ooi Leng Hang. Mulai saat itu, rakyat telah bersedia untuk berubah. Kita menerima hakikat bahawa politik pelbagai kaum adalah satu-satunya jalan ke hadapan. Sejarah telah ditempa pada 9 Mei 2018.

Namun begitu, pengkhianatan dan politik wang telah mengakhiri era kerajaan Pakatan Harapan secara tiba-tiba, hanya selepas 22 bulan mentadbir. Namun, naratif perubahan dan reformasi masih belum selesai. Kita perlu melakukan yang terbaik bagi membina dan memperkukuhkan golongan sederhana (middle ground). Jalan tengah yang sederhana ini mampu menjadi benteng melawan gerombolan yang taksub dengan politik perkauman dan pergeseran antara agama. Jalan sederhana inilah yang akan menyelamatkan negara daripada dimusnahkan oleh golongan esktrem.

Muhibah

Politik dominasi kuasa dan hegemoni kini sudah lapuk. Hanya politik yang menerima setiap individu sebagai warga dapat mengekalkan muafakat politik yang berasaskan empati, rasa hormat antara satu sama lain, dan saling kepercayaan. Inilah MUHIBAH.

Transformasi DAP telah berjaya – daripada sebuah parti pembangkang yang berkesan kepada sebuah parti rakan kongsi. Kita bukan sahaja berprestasi baik dalam pentadbiran, malah mampu membentuk gabungan politik yang berjaya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Kita perlu terus berusaha untuk memastikan DAP menjadi parti pilihan untuk semua rakyat Malaysia.

Sejak daripada tahun 2008, kita mempunyai rekod yang cemerlang mentadbir dengan penuh integriti, cekap, bertanggungjawab, dan telus. Kita masih terus diberikan amanah oleh rakyat Pulau Pinang untuk menjadi Kerajaan Negeri selepas lebih daripada satu dekad. Kita telah melatih pemimpin-pemimpin yang berkebolehan di peringkat kebangsaan, negeri, dan tempatan yang mampu memberi sumbangan membina kepada proses politik negara.

Kita juga mahu supaya Sabah dan Sarawak diberikan lebih banyak kuasa dan tanggungjawab untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk rakyat, sepertimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kita mahu membina sebuah Malaysia yang boleh dibanggakan bersama. Inilah semangat Muhibah.

Ekonomi dan Wabak COVID-19

Kita perlu meletakkan agenda pertumbuhan ekonomi, peningkatan gaji sebenar, dan penciptaan peluang pekerjaan sebagai satu keutamaan, dan kerajaan perlu menjadi pemangkin kepada agenda ini. Pada dasarnya, satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi negara kita adalah dengan membendung penularan wabak COVID-19. Pelaksanaan langkah-langkah ujian saringan besar-besaran (termasuk memberi subsidi ujian saringan kepada syarikat untuk pekerja tempatan dan asing mereka), penjejakan semua kontak rapat pesakit positif COVID-19, dan pemberian rawatan, mungkin memakan belanja lebih daripada RM2 bilion.

Kos kepada kerajaan untuk memberi subsidi ujian saringan ini sebenarnya jauh lebih rendah berbanding dengan kesan dan kos ekonomi yang dihadapi kebanyakan syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sebagai contoh, industri pelancongan sahaja telah kehilangan pendapatan sebanyak RM100 bilion bagi tahun 2020. Kedudukan industri ini terawang-awang tanpa sebarang penyelesaian, dan dijangka lebih banyak lagi hotel dan syarikat pelancongan akan menggulung tikar. Banyak sektor lain juga, daripada pembinaan kepada peruncitan juga terjejas teruk.

Usaha meningkatkan perbelanjaan fiskal perlu dilaksanakan dalam menghadapi wabak COVID-19 dan kemerosotan ekonomi. Pakej ransangan ekonomi tambahan berjumlah RM45 bilion diperlukan – ia merangkumi lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik dan tanpa bersyarat, peningkatan bayaran bantuan bulanan kepada RM1,000, termasuklah kepada golongan yang kehilangan pekerjaan, penyediaan subsidi sewaan dan bayaran utiliti, kredit pinjaman, dan geran.

Pembinaan negara

DAP kekal komited menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan berdedikasi terhadap usaha pembinaan negara:

–      Malaysia adalah sebuah negara yang bersatu-padu, di mana rakyatnya saling hormat-menghormati dan sama-sama berkongsi hidup, menikmati peluang yang saksama, bebas daripada ketakutan dan kemiskinan;

–      Malaysia adalah sebuah negara yang benar-benar mengamalkan demokrasi yang menghormati maruah dan hak asasi dengan memberi harapan sebenar kepada golongan muda bahawa masa hadapan mereka terjamin dan tidak akan dihancurkan; memberi penghargaan kepada mereka yang gigih berusaha serta memupuk budaya cemerlang; memastikan keamanan dan kedaulatan undang-undang sebagai hak untuk semua rakyat, dan bukannya sebagai keistimewaan untuk golongan elit; dan

–      Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti — etnik, agama, bahasa, budaya – impian kita adalah untuk melihat semua orang berkongsi satu identiti kebangsaan sebagai rakyat Malaysia.

Kita perlu memberi harapan kepada rakyat Malaysia, bahawa jika kita boleh menggerakkan solidariti atas nama dan semangat MUHIBAH, kita bukan sahaja boleh menundukkan pandemik di negara kita, tetapi juga masalah sosial seperti rasuah, salah guna kuasa, dan diskriminasi yang telah menghantui kita selama ini, dan kitab oleh sama-sama membina sebuah Malaysia yang lebih baik. – Roketkini.com