Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

PN perlu permudah urusan rakyat yang mencari rezeki di Singapura

Oleh Aziera NH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan segera berkenaan situasi yang dialami rakyat Malaysia yang terpaksa berbaris panjang dan lama di luar Suruhanjaya tinggi Malaysia di Singapura.

Menurut Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH), dugaan yang dihadapi rakyat Malaysia dalam mencari rezeki di luar negara adalah disebabkan oleh ekonomi negara yang tak mampu menawarkan bayaran yang lebih tinggi adalah sangat menyayat hati.

“Kerajaan PN, tetutamanya Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sepatutnya paling kurang perlu menunjukkan rasa simpati terhadap mereka ini.

“Masalah yang sedang dihadapi rakyat kita di Singapura boleh diselesaikan dengan menugaskan lebih ramai pegawai selain menggunakan teknologi secara lebih bijak supaya sekiranya perlu, warganegara boleh menyelesaikan masalah mereka secara online.

“Adalah amat memalukan bagi negara sekiranya teknologi tidak digunakan dengan cekap dalam hal-hal sebegini, pada tahun 2021,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, ekonomi negara perlu dipacu secara dinamik terutamanya di saat ini agar rakyat Malaysia yang mencari rezeki di luar negara akan tertarik untuk kembali ke Malaysia. – Roketkini.com