Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kit Siang gesa enam mantan KPN bersuara

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa kesemua enam mantan Ketua Polis Negara (KPN) yang masih hidup untuk bersuara sama ada terdapat campur tangan politik dalam pelantikan Ketua Polis Negeri.

Gesaan itu dibuat terhadap Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor (1994 – 1999), Tan Sri Norian Mai (1999 – 2003), Tan Sri Musa Hassan (2006 -2010), Tan Sri Ismail Omar (2012 – 2013), Tan Sri Khalid Abu Bakar (2013 -2017) dan Tan Sri Mohd Fuzi Harun (2017 – 2019).

Menurut Kit Siang, Tan Sri Hanif Omar, KPN yang paling lama berkhidmat telah bersuara bahawa sepanjang 20 tahun perkhidmatannya bersama tiga menteri, perkara itu tidak berlaku.

“Saya menggesa kesemua enam mantan KPN yang masih hidup untuk bersuara sama ada mereka berhadapan dengan campur tangan politik dalam melantik Ketua Polis Negeri. Hanif Omar, KPN yang paling lama berkhidmat, telah bersuara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini

Untuk rekod, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah menghentam keras dakwaan campur tangan politik Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam sidang media terakhirnya sebagai KPN pada Jumaat lepas.

Hamid Bador juga menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang menentukan pelantikan pegawai polis tidak lagi dipengerusikan oleh menteri, sebaliknya mantan ketua hakim negara untuk memastikan kebebasan badan itu.

Dalam pada itu, Kit Siang juga menggesa sembilan mantan Menteri Dalam Negeri yang masih hidup untuk bersuara sama ada sebagai Ketua SPP, mereka pernah meganggu pelantikan Ketua Polis Negeri atau menyerahkannya kepada budi bicara KPN ketika itu.

Menteri-menteri yang dimaksudkan itu ialah Tun Musa Hitam (1981 – 1986), Tun Dr Mahathir Mohamad (1986 – 1999), Tun Abdullah Badawi (1999 – 2004), Tan Sri Azmi Khalid (2004 – 2006), Datuk Seri Hishamuddin Hussein (2009 – 2013), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (2013 – 2018) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2018 – 2020). – Roketkini.com