Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Segerakan bantuan buat warga KL

KENYATAAN MEDIA BERSAMA AHLI-AHLI PARLIMEN PAKATAN HARAPAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan SOP terbaharu telah bermula sejak 23 Mei sehingga 5 Jun 2021. Semestinya dalam suasan pandemik COVID-19 yang belum reda, rakyat Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur akur dengan keperluan mengawal pergerakan dan menghadkan aktiviti dalam usaha melandaikan lekuk penularan wabak. Hal ini pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi dan kebajikan warga kota.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini Kerajaan Persekutuan belum mengumumkan langkah, bantuan dan sokongan yang akan diberi kepada warga Kuala Lumpur.

Oleh yang demikian, kami Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggesa Kerajaan Persekutuan untuk melaksana langkah-langkah bantuan seperti berikut:

1. Mewujudkan program saringan massa (mass screening) RTK-Antigen percuma buat warga kota Kuala Lumpur di setiap Parlimen;

2. Memberi sewa percuma tambahan dua belas (12) bulan bagi semua penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), bermula Mei 2021;

3. Memberi sewa percuma tambahan dua belas (12) bulan bagi semua penyewa kedai penjaja DBKL, bermula Mei 2021;

4. Melanjutkan program Lesen Prihatin Wilayah Bebas Berniaga sehingga hujung tahun 2021;

5. Menggunakan Van Wilayah di setiap Parlimen untuk membantu membawa warga Kuala Lumpur untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV);

6. Memberi cukai pintu percuma bagi enam bulan kedua (Julai-Disember) tahun 2021 bagi pemilik rumah flat atau perumahan kos rendah;

7. Pemberian baucer RM500 pembelian makanan kepada semua ketua isi rumah keluarga B40 di Kuala Lumpur yang terdapat di dalam senarai BPN, Baitulmal dan e-Kasih.

Kami percaya dengan bantuan segera seperti di atas, bebanan yang dipikul warga Kuala Lumpur akan dapat diringankan serba sedikit.

Tan Kok Wai

Ahli Parlimen Cheras

Fong Kui Lun

Ahli Parlimen Bukit Bintang

Teresa Kok

Ahli Parlimen Seputeh

Dr Tan Yee Kew

Ahli Parlimen Wangsa Maju

Fahmi Fadzil

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Nik Nazmi Nik Ahmad

Ahli Parlimen Setiawangsa

P. Prabakaran

Ahli Parlimen Batu

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong

Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut