Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Tiada kompromi isu gangguan seksual dalam kalangan atlet – Steven Sim

Oleh Aziera NH

Kerajaan tidak boleh berkrompomi dalam isu gangguan seksual dalam kalangan atlet, tegas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Jelasnya, isu gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan atlet negara seperti pendedahan yang dibuat oleh atlet renang, Cindy Ong bukanlah perkara baru.

“Saya bersimpati dengan nasib malang dan pengalaman buruk yang telah dialami oleh Cindy yang telah banyak berjasa kepada sukan negara. 

“Pendedahan ini harus membuka mata semua pihak mengenai budaya toksik yang berlaku di kalangan atlet kita.

“Gangguan seksual yang berlaku terutamanya ketika latihan bukan sahaja akan memberi kesan kepada mangsa malah menjejaskan sektor sukan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Steven yang juga mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, budaya menidakkan dan membungkam suara atlet demi untuk menutup malu tidak harus berlaku.

Jelas Steven, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil beberapa langkah proaktif dan praktikal bagi memastikan kes gangguan seksual melibatkan atlet tidak berlaku.

“Ini menunjukkan kesungguhan dan keseriusan kerajaan sebelum ini untuk menangani perkara ini,” ujarnya.

Antaranya ialah;

1- Penubuhan Jawatankuasa Mencegah Gangguan dan Penderaan untuk menguruskan isu berkaitan dengan gangguan dan penderaan, termasuk gangguan seksual yang dihadapi oleh atlet. 

2- Penubuhan Pusat Atlet (one-stop-centre) dalam perkarangan Majlis Sukan Negara dengan kemudahan-kemudahan rekreasi dan kaunseling untuk atlet.

3- KBS buat pertama kalinya telah memperuntukkan RM10 juta dalam Belanjawan PH 2020 untuk program Wanita Dalam Sukan yang bertujuan untuk memperkasakan atlet wanita sedia ada serta meningkatkan penyertaan wanita dalam sukan. 

Oleh itu, tambahnya, beliau berharap pihak KBS akan terus memandang serius isu gangguan seksual tersebut dan mengambil tindakan yang tegas sebagaimana dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Dalam aspek ini, seiring dengan penggubalan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030), saya menyarankan agar agenda pemberdayaan wanita dalam sukan dan jaminan sektor sukan yang bebas gangguan dan penderaan akan dirangkumkan dalam VSN2030. 

“Saya juga berharap Jawatankuasa Mencegah Gangguan dan Penderaan  yang telah ada terus diperkasakan bagi mengelakkan atlet menjadi mangsa gangguan dan penderaan di samping meneruskan agenda pemerkasaan atlet wanita dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dari masa ke semasa,” ujarnya. – Roketkini.com