Wawancara

10 MINIT: Luahan rasa anak muda

Anak watan Johor berusia 26 tahun, Liow Cia Tung, adalah seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Johor merangkap Penolong Setiausaha Perhubungan DAP Parlimen Gelang.  Beliau merupakan anak sulung dari empat orang adik beradik.

Liow mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Engku Tun Aminah sehingga tingkatan enam sebelum menyambung pelajarannya di English College Maktab Sultan Abu Bakar. Beliau memperolehi ijazahnya di  Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dalam bidang Biochemistry.

Dalam satu pertemuan dengan Roketkini di Johor Bahru, Liow yang memilih untuk menyertai DAP menyatakan rakyat telah sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional telah banyak melakukan penipuan sehingga membawa kepada kemenangan Pakatan Rakyat di beberapa negeri dalam pilihan raya umum 2008.

Namun, katanya, BN bukan sahaja tidak sedar diri dengan kekalahan mereka, malah semakin angkuh dengan penipuan dan tindakan keras terhadap rakyat prihatin yang mahu Malaysia menjadi lebih adil, saksama dan demokratik.

“Masa Bersih 3.0 baru-baru ini banyak berita yang benar tidak dilaporkan di akhbar dan televisyen. Laporan di media banyak yang direka-reka sahaja. Saya rasa ditipu kerana saya serta ramai lagi rakyat Malaysia tahu apa yang sebenarnya berlaku,” ujarnya.

Lebih awal dari itu, Liow menjelaskan bahawa beliau menyertai DAP kerana sedar bahawa sangat sedikit golongan muda bergiat dalam politik.

“Saya fikir saya perlu memberi sumbangan disamping sokongan kuat dari keluarga saya sendiri,” ujarnya lagi.

Menurutnya, dua tahun kebelakangan ini menunjukkan semakin ramai orang muda menyertai politik. Ia bukan sahaja kerana kesedaran dalam diri tetapi juga berikutan pendedahan sebenar apa yang sedang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia melalui media baru.

“Sekarang orang muda ada internet, facebook dan sebagainya. Dari situ mereka mendapat banyak maklumat.

“Negara ini milik kita semua, jadi bukan sahaja orang yang dalam usia pertengahan umur. Kita sebagai orang muda pun harus mainkan peranan untuk bukan sahaja menentang rasuah tapi untuk pastikan kerajaan sekarang yang tidak bertanggungjawab digantikan dengan kerajaan yang lebih bertanggungjawab.”

Liow mahu lebih ramai orang muda menyertai DAP, termasuk dari kalangan Melayu, kerana parti itu memang jelas perjuangannya yang tidak mengira kaum dan agama. Yang penting adalah jiwa yang mahu kepada demokrasi dan sanggup menerima perjuangan demi hak asasi dan peluang saksama serta menegakkan keadilan untuk semua..

“Saya berharap boleh menarik lebih ramai orang muda. Masih ramai antara mereka yang anggap politik dan hak itu sebagai tidak penting.

“Sebagai contoh di sini dekat dengan Singapura, ramai teman-teman saya bekerja di sana. Apa yang terjadi ialah mereka tidak peduli dengan apa yang berlaku di Malaysia seolah-olah mereka orang Singapura. Ini tidak patut berlaku.

“Saya harap saya dapat membantu mereka untuk realise bahawa negara ini negara mereka walau pun bekerja di sana. Jika mereka tidak peduli sekarang, mereka mungkin menyesal di hari tua nanti,” tambah beliau.

Bagi Liow, jika anak muda lari dari tanggungjawab dan tidak mahu berjuang untuk menegakkan keadilan, ia bererti mereka membenarkan pemerintahan yang tidak adil dan kerajaan yang melakukan penipuan terus berkuasa. – Roketkini.com