Berita

Forum reformis Islam Syed Sheikh Al-Hadi di Bukit Mertajam esok

GEORGE TOWN, 15 JUN: Satu forum mengenai perjuangan reformis Islam tersohor Syed Sheikh Al-Hadi akan diadakan di Auditorium MPSP, Bandar PERDA, Bukit Mertajam, Pulau Pinang esok mulai jam 8.30 pagi.

Orang ramai yang berminat menambah ilmu pengetahuan dijemput hadir di forum percuma ini anjuran Penang Institute.

Forum Nusantara siri kelima ini akan membariskan tokoh-tokoh seperti bekas Mufti Perlis Prof Dato’ Asri Zainul Abidin, aktivis media dan gerakan sosial Tuan Haji Ibu Hasyim, serta budayawan dan penukil lirik terkenal Hasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat.

Moderator forum ini adalah Eekmal Ahmad, iaitu Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga seorang aktivis Komuniti Jalan Telawi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari, gabungan ahli akademik dan cendekiawan awam itu diharap mampu mencetuskan fikiran, semangat dan iltizam warga Pulau Pinang untuk meletakkan kembali Pulau Pinang sebagai pusat ilmu serantau.

“Forum ini juga adalah usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menggalakkan budaya ilmu dan budaya dialog terbuka bagi memartabatkan rasa cinta kepada ilmu pengetahuan,” katanya.

Syed Sheikh bin Syed Ahmad Al-Hadi merupakan seorang penerbit, pemikir dan reformis yang tersohor dalam sejarah masyarakat Melayu. Beliau lahir di Melaka pada tahun 1867. Pada usia 14 tahun, beliau dihantar ke Riau untuk mengaji agama dan bahasa Arab dengan seorang pengarang dan juga agamawan iaitu Raja Ali Haji.

Pada penghujung abad ke-19, Syed Sheikh telah berkunjung ke Mekah dan juga Beirut serta Kaherah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama dan berguru dengan reformis terkenal di Kaherah – Muhammad Abduh. Sekembalinya dari Mesir, Syed Sheikh Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada tahun 1907 di Singapura.

Beliau kemudiannya mendirikan dua buah lagi sekolah iaitu Madrasah Al-Hadi (1915) di Melaka dan Madrasah Al-Mashoor (1926) di Pulau Pinang. Beliau telah menjadi Mudir kepada dua buah madrasah tersebut.

Pewarisan beliau boleh dikatakan sebagai citra pendidikan moden dan budaya pemikiran reformis dengan tafsiran Islam yang progresif pada zamannya. Beliau bersama sahabatnya kemudian menerbitkan majalah Al-Imam (1906), Al-Ikhwan (1927) dan akhbar Saudara (1928). Beliau juga menghasilkan Hikayat Faridah Hanum yang telah menggegarkan lumrah pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu.

Pun begitu, cara pemikirannya yang agak radikal ini sukar diterima umum di Johor, Singapura dan Melaka. Oleh kerana itu, Syed Sheikh telah menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalannya.

Forum esok akan mencari jawapan tentang kelebihan Pulau Pinang dan bagaimana idea-idea progesif Syed Sheikh yang melangkaui zaman mampu bertapak dan diterima di pulau mutiara.

FORUM NUSANTARA 5

“Syed Sheikh Al-Hadi: Pencetus Gerakan Pencerahan di Malaysia?”
Tarikh: 16 Jun 2012 (Sabtu)
Lokasi: Auditorium MPSP, Bandar PERDA, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Masa: 8.30 Pagi – 12.30 Tengahari

Panelis:
1. Prof Dato’ Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis)
2. Tuan Haji Ibnu Hasyim
3. Hasmi Hashim @ Buddhi Hekayat
Moderator: Eekmal Ahmad